AM

Belanjawan 2025: Pihak Berkepentingan Kesihatan Harap Isu Kadar Baharu 'On-Call' Diselesaikan

15/10/2024 12:22 PM

Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Pihak-pihak berkepentingan dalam penjagaan kesihatan menaruh harapan tinggi untuk melihat Belanjawan 2025 menjadi tuntas kepada penyelesaian beberapa polemik sektor tersebut, dengan memberi penekanan kepada isu tuntutan kadar baharu on-call, permasalahan kekurangan pakar, selain kekal diberi keutamaan kepada pertambahan agihan peruntukan.

Mereka mahukan isu tersebut ditangani segera oleh kerajaan MADANI, dalam usaha ke arah peningkatan serta pengekalan kemampanan sistem penjagaan kesihatan negara, sekali gus memberi manfaat kepada sektor berkenaan serta rakyat.

Jurucakap Kumpulan Hartal Doktor Kontrak (HDK) Dr Muhammad Yassin berkata tuntutan kadar baharu elaun tugas atas panggilan atau on-call itu tidak boleh diambil mudah lagi, memandangkan ia melibatkan kebajikan petugas kesihatan dan isu tersebut sudah berlanjutan sekian lama.

Bagi HDK, beliau berkata desakan tersebut berasas, memandangkan kadar yang masih diguna pakai ketika ini disifatkan sudah tidak bersesuaian lagi dengan peningkatan kos sara hidup dan kerana itu, ada keperluan ia disemak segera apatah lagi sudah lebih sedekad tiada penyemakan terhadap elaun berkenaan.

Kali terakhir ia disemak ialah pada 2012 dan menurut beliau ia tidak lagi mencukupi, memandangkan peningkatan tanggungjawab serta tekanan yang dihadapi oleh golongan profesional perubatan, meskipun sebelum ini terdapatnya penyelarasan gaji kakitangan awam yang diumumkan pada Ogos.

“Isu ini sudah lama dan perlukan penyelesaian. Kita tidak mahu lihat dan cuba elakkan penghijrahan doktor ke sektor swasta yang sekali gus berisiko menjejaskan sistem penjagaan kesihatan awam.

“Kerana itu, kami bersuara bagi memastikan pekerja penjagaan kesihatan diberi imbuhan sewajarnya atas usaha gigih mereka, serta ingin melihat sistem penjagaan kesihatan awam kekal teguh serta mampu menampung keperluan rakyat,” katanya kepada Bernama.

Dr Muhammad berkata suara tuntutan kadar elaun tugas atas panggilan ini juga turut menjadi tunjang penekanan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), yang mencadangkan ia dinaikkan pada kadar RM25 sejam untuk pegawai perubatan manakala RM30 bagi pakar.

Beliau berkata perbelanjaan penjagaan kesihatan, wajar dilihat sebagai ‘pelaburan masa hadapan’ negara, justeru soal penambahan pekerja sektor kesihatan yang kian meruncing dan dilihat tidak sejajar dengan nisbah rawatan pesakit untuk seorang doktor, juga perlu dititik beratkan kerajaan.

“Selain terdapatnya keperluan penambahan peruntukan menaik taraf peralatan serta fasiliti kesihatan awam yang uzur, khususnya di Sabah dan Sarawak dalam mengelakkan jurang kesihatan di negeri berkenaan terus melebar dan juga penyediaan elaun khas bagi petugas kesihatan di kawasan pedalaman,” katanya.

Presiden MMA Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira berkata dalam menangani masalah kekurangan pakar gred UD56, beliau mengharapkan lebih banyak penjawatan Khas Untuk Penyandang (KUP) Gred Khas C dalam Belanjawan 2025, berikutan kali terakhir kenaikan penjawatan itu dilaksanakan ialah pada 2012.

“Sehingga 100 orang ialah doktor kanan yang mendapat UD56 mereka pada 2017 dan sejak itu, terperangkap pada skala ini…kali terakhir kenaikan ialah pada 2012, apabila jawatan KUP khas C diwujudkan khas, membolehkan ramai doktor naik ke Gred Khas C.

“MMA juga menekankan keperluan peruntukan secara keseluruhan dalam bidang kesihatan sekurang-kurangnya mencapai lima peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu Presiden Persatuan Farmaseutikal Malaysia (MPS) Prof Amrahi Buang menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan usaha perkongsian awam-swasta bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan di seluruh negara.

Beliau menekankan peranan kerajaan dalam menyediakan sokongan kewangan untuk projek perintis Ubat@Komuniti di Pulau Pinang dan menyokong pengembangannya di seluruh negera dan mempercepatkan pengembangan ke Sabah, Sarawak dan wilayah lain setiap tahun.

“Ini akan membantu mengurangkan kesesakan farmasi pesakit luar, dengan memastikan bekalan ubat jangka panjang yang stabil untuk pesakit,” katanya.

Selain itu, Amrahi menggesa kerajaan memperuntukkan lebih banyak sumber kepada sektor penjagaan primer, memberi tumpuan kepada langkah pencegahan dan promosi kesihatan dengan meningkatkan celik kesihatan dalam kalangan orang ramai, terutamanya mengenai penggunaan ubat-ubatan.

Belanjawan 2025 bertemakan ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera,’ akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Okt di Parlimen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan