JENAYAH & MAHKAMAH

Najib Tarik Rayuan Injuksi Mareva US$681 Juta Terhadap 1MDB

15/10/2024 01:54 PM

PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menarik balik rayuan untuk membatalkan injunksi Mareva yang diperoleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan empat anak syarikatnya bagi menghalang beliau daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya di Malaysia berjumlah sehingga US$681 juta.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Lee Swee Seng bahawa rayuan itu dihentikan kerana ia telah menjadi akademik.

Injunksi Mareva ialah perintah mahkamah yang menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara menunggu penyelesaian tindakan undang-undang. 

Peguam Khoo Guan Huat, yang hadir bersama Siva Kumar Kanagasabai mewakili 1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd, 1MDB Energy (Langat) Ltd dan Global Diversified Investment Company Ltd, memohon RM30,000 sebagai kos guaman seperti yang dipersetujui oleh pihak terlibat dalam rayuan itu.

Lee, yang bersidang bersama Hakim Choo Kah Sing dan Azman Abdullah, kemudian membatalkan rayuan dan memberikan kos RM30,000 kepada 1MDB.

Kerajaan melalui 1MDB dan anak syarikatnya, memfailkan saman terhadap Najib dan 14 yang lain pada Mei 2021, atas dakwaan salah nyata palsu, pelanggaran kewajipan, pelanggaran kewajipan berkanun dan pengayaan yang tidak adil.

Pada mulanya 15 individu termasuk Najib dinamakan sebagai defendan.

Bagaimanapun prosiding dihentikan terhadap tujuh daripada defendan termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman dan Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas pengarah Che Lodin Wok Kamaruddin, Ismee Ismail, Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram, serta bekas ketua pegawai kewangan Azmi Tahir.

Selain Najib, prosiding melibatkan defendan yang masih berjalan ialah Loo Ai Swan, juga dikenali sebagai Jasmine Loo, Tang Keng Chee, Geh Choh Heng, Vincent Koh, Nik Faisal Ariff Kamil, Kelvin Tan dan Radhi Mohamad.

Pada 2022, 1MDB memperoleh injunksi terhadap Najib atau ejennya, membekukan aset yang berkaitan dengan tuntutan US$681 juta terhadapnya (Najib) sebelum selesai saman sivil.

Injunksi itu juga mengehadkan Najib untuk mengeluarkan tidak lebih daripada RM100,000 sebulan bagi perbelanjaan sara hidup dan guaman.

Sekiranya beliau memerlukan lebih daripada itu, Najib perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam yang mewakili 1MDB dan anak syarikatnya.

Pada 27 Sept tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengekalkan injunksi itu susulan perbicaraan antara pihak. Najib merayu keputusan ini di Mahkamah Rayuan dan perbicaraan dijadualkan hari ini.

Sementara itu perbicaraan kes ini dijadualkan selama lima hari bermula 24 Julai depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan