AM

SPA Jangka Permohonan Ke Sektor Awam Meningkat Kira-kira 1.5 Juta Hujung Tahun Ini

15/10/2024 03:04 PM

SEREMBAN, 15 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) menjangkakan peningkatan lebih kurang 1.5 juta permohonan pekerjaan dalam sektor awam sehingga akhir hujung tahun ini.

Pengerusi SPA Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata peningkatan itu dijangka berlaku susulan kecekapan pihak SPA dalam urusan pengambilan ke perkhidmatan awam, selain pengumuman sistem baharu dalam penjawat awam.

"Sehingga hujung tahun ini, kita menjangkakan berlaku peningkatan permohonan antara 20 hingga 30 peratus berbanding tahun lepas berjumlah 1.2 juta permohonan SPA.

"Alhamdulillah, setelah pengumuman Perdana Menteri mengenai sistem SSPA (Skim Saraan Penjawat Awam) yang baharu ini, permintaan permohonan ke SPA amat tinggi, dengan itu kita memerlukan kaedah penyaringan lebih baik dan berkesan bagi memastikan mereka terpilih itu benar-benar berkualiti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pusat Temu Duga (PTD) SPA Seremban di UTC Negeri Sembilan@Angsana Seremban di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Jailani merangkap Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) berkata PTD SPA Seremban ini menyediakan kemudahan yang lebih mudah untuk diakses oleh calon di negeri ini.

Beliau berkata pusat itu juga menyediakan kemudahan internet kepada calon untuk menduduki Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE), Ujian Psikometrik, konsultasi berkaitan Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA9) dan konsultasi pengambilan ke perkhidmatan awam.

Ahmad Jailani berkata pembukaan PTD SPA itu dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan bagi calon-calon sekitar negeri ini yang terlibat dengan urusan temu duga. 

"SPA berharap kemudahan ini menjadi platform efektif dalam urusan pengambilan calon berkelayakan untuk berkhidmat dalam sektor awam," katanya.

Pertambahan pusat itu selaras dengan komitmen SPA untuk meningkatkan kecekapan proses pengambilan kakitangan awam dan memastikan keselesaan serta kemudahan calon yang menjalani proses temu duga.

Beliau berkata pihaknya akan membuka sebuah lagi PTD SPA di UTC Sibu, Sarawak pada penghujung tahun ini bagi memberi keselesaan kepada calon di sana.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan