JENAYAH & MAHKAMAH

Rogol Amah: Mahkamah Rayuan Benar Ahli Perniagaan Semak Hukuman Penjara 12 Tahun

15/10/2024 04:57 PM

PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan seorang ahli perniagaan, untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dengan lima sebatan terhadap lelaki itu kerana merogol pembantu rumahnya warga Indonesia, pada 2016.

Penel tiga hakim diketuai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dalam keputusan sebulat suara membenarkan permohonan dikemukakan Sufian Sulaiman, 50, selaku pemohon terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 27 Julai 2023.

“Setelah kami meneliti hujahan pihak-pihak, kami memutuskan bahawa permohonan pihak pemohon bagi menyemak semula keputusan panel Mahkamah Rayuan terdahulu berjaya membangkitkan hal keadaan khas bagi mewajarkan kebenaran kepada permohonan oleh pemohon.

“Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan ini,” kata Hakim Che Mohd Ruzima yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Lim Chong Fong dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin.

Hakim Che Mohd Ruzima kemudian menetapkan 30 Okt ini untuk pengurusan kes.

Pada 27 Julai 2023, panel hakim Mahkamah Rayuan berlainan membenarkan rayuan Sufian untuk mengurangkan hukuman penjara daripada 14 kepada 12 tahun dengan lima sebatan kerana merogol pembantu rumahnya. 

Pada 18 Mei 2018, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan lima sebatan terhadap Sufian, selepas didapati bersalah melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 19 tahun ketika itu di sebuah rumah di Cheras, Kuala Lumpur, antara jam 3 dan 4 pagi pada Julai, 2016.

Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Ogos 2020.

Terdahulu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Sufian berkata bahawa Mahkamah Rayuan berhak mengarahkan semakan dilakukan apabila suatu ketidakadilan didedahkan.

“Ini adalah kes yang jelas di mana pemohon telah mengalami ketidakadilan. Satu-satunya remedi yang ada ialah mahkamah ini campur tangan, mengetepikan keputusan awalnya dan memerintahkan pendengaran semula rayuan di hadapan panel hakim baharu.

“Beliau tidak menerima apa yang undang-undang nyatakan beliau patut dapat. Sabitannya tidak mengikut undang-undang,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang berkata tidak timbul isu berlaku ketidakadilan dan prejudis terhadap pemohon, kerana kes itu telah didengar di tiga mahkamah iaitu Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan