AM

Pulau Pinang Siap Siaga Hadapi Peralihan Monsun, Air Pasang Besar

15/10/2024 05:31 PM

GEORGE TOWN, 15 Okt (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang sudah bersiap sedia untuk menghadapi fasa peralihan monsun serta fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku pada hujung minggu ini, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata ketika ini tumpuan diberikan terhadap persiapan untuk membuka pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya diperlukan selain penyediaan logistik bagi menyampaikan bantuan jika berlaku bencana banjir. 

“Lazimnya Unit Bencana Negeri akan memantau dan meneliti segala bentuk ramalan dan amaran daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan kita (kerajaan negeri) akan memberi tumpuan terhadap kesiapsiagaan dari segala sudut.

“Selain itu, agensi-agensi berkaitan juga perlu diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi segala kemungkinan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Chow berkata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga sentiasa memantau kadar kekeruhan air mentah di muka sauk Lahar Tiang, Seberang Perai berikutan hujan lebat dan banjir di beberapa kawasan di hulu Sungai Muda.

Beliau berkata laporan terkini menyatakan bahawa kadar kekeruhan adalah dalam lingkungan 470 NTU (unit kekeruhan nefelometrik), melepasi bacaan biasa iaitu 200 NTU, tetapi keadaan terkawal dan tidak menjejaskan operasi di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

“PBAPP akan terus memantau keadaan kerana sumber kekeruhan ini adalah kesan dari banjir di kawasan hulu sungai khususnya di daerah Baling dan saya juga percaya setelah kejadian banjir dua tahun lepas, PBAPP telah menaik taraf sistem mereka untuk menampung NTU yang lebih tinggi supaya tidak menjejaskan kerja-kerja rawatan (air mentah) di LRA Sungai Dua,” katanya. 

Chow seterusnya berkata kerajaan negeri juga telah memberi kelulusan untuk melaksanakan pelbagai projek tebatan banjir pada tahun ini supaya impak banjir dapat dikurangkan selain projek-projek besar lain oleh kerajaan Persekutuan.

Dalam perkembangan lain, Chow berkata feri ikonik yang senget dan hampir tenggelam selepas bahagian bawahnya dilaporkan mengalami kebocoran pada Rabu lepas telah dapat dipulihkan semula.

Beliau berkata sebuah syarikat sudah diberi tawaran untuk memulihkan feri berkenaan oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan dijangka akan mula beroperasi sebagai Muzium Feri Pulau Pinang menjelang akhir tahun ini. 

Feri Pulau Pinang itu baru ditunda dari Bagan Dalam Slipway ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) pada 3 Okt lepas dan sedang dalam proses pengubahsuaian untuk dijadikan Muzium Feri Pulau Pinang sebelum diletakkan di Tanjung City Marina.

Feri berkenaan yang pada asalnya separa tenggelam di Bagan Dalam dekat sini pada 2021 sedang giat dibaik pulih untuk dijadikan muzium oleh syarikat Printhero Merchandise Sdn Bhd.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan