DUNIA

Menteri Luar Kanada Umum Pengusiran Enam Diplomat India

15/10/2024 10:55 PM

OTTAWA, 14 Okt (Bernama-Xinhua) -- Menteri Luar Kanada, Melanie Joly mengumumkan pada Isnin bahawa negara itu mengusir enam diplomat dan pegawai konsular India, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan daripada Global Affairs Canada, diplomat dan pegawai konsular terbabit menerima notis pengusiran susulan kempen yang disasarkan terhadap warganegara Kanada oleh ejen yang dikaitkan dengan kerajaan India.

Penyiasatan oleh Royal Canadian Mounted Police (RCMP) mendapati kaitan antara kes Nijjar dan ejen kerajaan India.

Bagi meneruskan penyiasatan dan membolehkan RCMP menemu bual individu yang berkaitan, India diminta untuk mengetepikan kekebalan diplomatik dan konsular serta bekerjasama dalam penyiasatan.

Malangnya India tidak bersetuju dan memandangkan kebimbangan keselamatan awam yang berterusan untuk warganegara Kanada, Kanada mengeluarkan notis pengusiran kepada individu-individu terbabit.

Susulan itu, India mengumumkan akan menarik balik pegawai-pegawainya, menurut kenyataan itu.

"Keputusan untuk mengusir individu-individu ini dibuat dengan pertimbangan yang teliti, hanya selepas RCMP mengumpulkan bukti yang mencukupi, jelas dan kukuh yang mengenal pasti enam individu sebagai pihak berkepentingan dalam kes Nijjar.

"Kami terus meminta kerajaan India untuk menyokong siasatan yang sedang dijalankan dalam kes Nijjar," kata Joly.

Pesuruhjaya RCMP, Michael Duheme dalam satu sidang media pada Isnin memberi amaran mengenai ancaman keselamatan awam yang berkaitan dengan ejen kerajaan India.

Pada 18 Jun 2023, Nijjar ditembak mati di tempat letak kereta sebuah kuil Sikh di British Columbia.

Pada September 2023, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menyatakan bahawa agensi perisikan Kanada sedang "menyiasat dakwaan mengenai kemungkinan kaitan" antara ejen kerajaan India dan pembunuhan Nijjar.

Terdahulu, Xinhua melaporkan bahawa India pada Isnin meminta enam diplomat Kanada di New Delhi meninggalkan negara itu sebelum Sabtu, beberapa jam selepas ia memutuskan untuk menarik balik Pesuruhjaya Tinggi Sanjay Kumar Verma dan diplomat serta pegawai lain dari Kanada.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan