AM

Belanjawan 2025: Wanita MAICCI Harap Pembiayaan Hijau Untuk Usahawan India

14/10/2024 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Sayap Wanita Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) berharap inisiatif khusus diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 bagi memperkasakan usahawan wanita India termasuk melalui pembiayaan hijau.

Ketuanya S. Hemala menyentuh mengenai kepentingan langkah-langkah berteraskan kemampanan dengan menggesa kerajaan memperkenalkan pembiayaan hijau untuk menyokong projek mampan dan mesra alam yang dilaksanakan oleh usahawan wanita India. 

"Kami memerlukan sokongan untuk mengintegrasikan amalan mesra alam dalam perniagaan. Pembiayaan hijau boleh menjadi pemangkin utama,” katanya kepada Bernama sambil berkongsi harapannya untuk Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat ini.

Hemala berkata pembiayaan hijau membolehkan perniagaan menerapkan amalan mesra alam seperti rantaian bekalan mampan dan sistem pengurusan sisa dengan menyediakan akses lebih mudah untuk mendapatkan dana, geran dan insentif.

“Pembiayaan seperti ini mustahak kerana dapat membantu menyelaraskan pertumbuhan ekonomi dengan pemuliharaan alam sekitar dan matlamat kemampanan jangka panjang,” katanya.

Hemala juga mencadangkan pemberian subsidi untuk pameran perdagangan dan bimbingan mengenai eksport kerana inisiatif seperti ini boleh membantu usahawan wanita dalam kalangan komuniti India meneroka peluang baharu.

Beliau turut berkongsi mengenai keperluan latihan kemahiran digital bagi membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan pasaran dalam talian.

“Di samping inisiatif sedia ada terdapat beberapa perkara lagi yang saya harap dapat dilihat dalam belanjawan akan datang. Latihan kemahiran digital perlu dijadikan keutamaan.

“Program yang menumpukan kepada e-dagang, pemasaran digital dan penubuhan platform dalam talian memberi manfaat yang sangat besar,” kata Hemala.

Beliau turut berharap penubuhan pusat inkubasi khas untuk usahawan wanita.

“Akses kepada mentor dan peluang rangkaian akan menjadi pemangkin perubahan,” katanya sambil menambah bahawa pusat berkenaan dapat menyediakan asas untuk pertumbuhan perniagaan yang mampan.

Belanjawan 2025 juga diharap menumpukan kepada insentif cukai untuk perniagaan kecil dan sokongan terhadap penjagaan kanak-kanak yang mampu milik untuk membantu wanita mengimbangi antara kerjaya dan keluarga.

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan