AM

Sindiket Bawa Masuk Warga Asing Dibincangkan Di Dewan Rakyat Hari Ini

16/10/2024 08:14 AM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Sindiket membawa masuk warga asing melalui modus operandi mengatur kaunter atau counter setting didalangi penguat kuasa agensi bertugas di pintu masuk udara negara antara yang dibincangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara itu dikemukakan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) kepada Menteri Dalam Negeri, yang ingin tahu mengenai langkah tegas kerajaan berhubung perkara berkenaan pada sesi soal jawab lisan.

Turut menarik perhatian, isu pendidikan yang dibangkitkan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai perkembangan usaha membangunkan kemahiran digital pelajar serta kekangan peralatan di sekolah-sekolah luar bandar.

Hassan Saad (PN-Baling) pula meminta Menteri Pendidikan menyatakan usaha dalam mengenal pasti punca pelajar tidak hadir Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta langkah memastikan golongan itu tidak terus tercicir daripada sistem pendidikan.

Usai sesi soal jawab, Dewan Rakyat akan menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 yang antara lain bertujuan menurunkan had umur untuk memohon kewarganegaraan daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun.

Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari hingga 12 Dis depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan