AM

Pelbagai Pengisian Bermanfaat Menanti Pengunjung Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah

16/10/2024 05:02 PM

KOTA KINABALU, 16 Okt (Bernama) -- Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah di pekarangan Kompleks Sukan Likas di sini yang bermula 18 Okt ini, menyediakan pelbagai pengisian menarik dan bermanfaat kepada pengunjung.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Zulfamy Mat Udi berkata antaranya 215 Perkhidmatan Touchpoint Rakyat, 28 perkhidmatan kos sara hidup dan aktiviti untuk belia.

“Kita membawa perkhidmatan Kerajaan MADANI kepada rakyat Sabah, dengan contohnya di reruai KPDN pengguna boleh berinteraksi secara langsung dan kementerian serta agensi juga boleh tambah baik perkhidmatan.

“Banyak perkhidmatan boleh dimanfaat pengunjung, antaranya kemudahan bayar saman dengan diskaun sehingga 50 peratus. Turut disediakan perkhidmatan menukar topi keledar lama dengan 5,000 pengunjung terawal boleh bawa helmet lama yang tiada pengesahan SIRIM untuk ditukar baharu,” katanya dalam temu bual radio Sembang Ekspresi Sabah FM di sini hari ini.

Beliau berkata Jualan Rahmah yang menawarkan diskaun sehingga 30 peratus di samping Jualan Agro MADANI, turut dianjurkan sempena program tiga hari itu yang berakhir 20 Okt.

“Kita bawa wakil TikTok dan Shoppe untuk memberikan penerangan mengenai cara promosi dalam talian dan peluang ini perlu direbut pengusaha produk di negeri ini,” katanya.

Zulfamy berkata kira-kira 4,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan 14 majikan juga menanti untuk pengunjung dan penduduk Sabah.

Beliau berkata turut berlangsung pameran aset keselamatan, pemeriksaan kesihatan, kempen beli barangan buatan Malaysia dan jualan trak makanan, serta konsert artis terkenal antaranya Azharina, K Clique, Masmona dan Faradhiya.

Lebih 400,000 pengunjung dijangka menghadiri Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), dengan KPDN sebagai penyelaras di peringkat negeri.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan