AM

Tiada Bukti Kukuh Penglibatan Pegawai Kerajaan, Pemimpin Politik Dengan GISBH

17/10/2024 11:12 AM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Tiada sebarang bukti kukuh yang boleh mengaitkan pegawai kerajaan atau pemimpin politik, terlibat atau bersubahat dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) berdasarkan siasatan setakat ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat di laman sesawang Parlimen menyebut bagaimanapun kementerian itu tidak menolak sebarang kemungkinan, kerana siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih diteruskan daripada pelbagai sudut serta peruntukan undang-undang.

Ia bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) sama ada terdapat pegawai kerajaan atau pemimpin politik terlibat atau bersubahat dengan GISBH, serta adakah Suruhanjaya Siasatan Diraja diperlukan berhubung jenayah yang dikaitkan dengan organisasi berkenaan.

Menurut KDN, pihak kementerian tidak bercadang menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung perkara berkenaan pada masa ini.

KDN memaklumkan bahawa pihak PDRM harus diberi ruang dan kepercayaan yang tinggi, memandangkan siasatan dan operasi yang dijalankan PDRM masih berjalan bagi menjejak saki baki pengikut kelompok itu.

“PDRM juga sedang membuat pemantauan terhadap kegiatan GISBH di luar negara. Sekiranya terdapat kesalahan dari sudut undang-undang, tindakan akan diambil melalui Mutual Legal Assistance (MLA) dan Akta Bantuan Bersama Perkara Jenayah (MACMA) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan pihak Interpol,” menurut KDN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan