AM

Pasukan MALBATT Di Lubnan Selamat, Tiada Kemalangan Jiwa - Mohamed Khaled

17/10/2024 11:41 AM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang berada di Selatan Lubnan berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan aset, sepanjang tempoh serangan Israel ke atas negara itu.

Mengakui ancaman tentera Israel semakin meningkat, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) telah meletakkan garis panduan, bagi menjamin keselamatan semua pasukan di bawah misi pengaman berkenaan.

“Kesemua pasukan di bawah UNIFIL termasuk pasukan MALBATT 850-11 yang beroperasi di Selatan Lubnan, telah diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik dan kekal di penempatan masing-masing.

“Mengambil kira keselamatan petugas, markas UNIFIL juga telah mengaktifkan perlindungan di dalam kubu, mengikut prosedur yang telah ditetapkan sehingga keadaan terkawal,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai situasi keselamatan pasukan MALBATT 850-11 dalam misi pengaman di Lubnan, dengan mengambil kira perkembangan terkini serangan tentera Israel dan amaran Perdana Menteri Israel Benjamin Nentanyahu supaya pasukan UNIFIL segera meninggalkan Selatan Lubnan.

Mohamed Khaled berkata sebarang keputusan membabitkan pengunduran pasukan MALBATT dari Lubnan tertakluk kepada UNIFIL dan keputusan bersama kesemua 50 negara yang terlibat dalam misi pengaman berkenaan.

“Indonesia yang tentera mereka cedera dalam serangan Israel, Menteri Luar Indonesia membuat kenyataan pada 14 Sept, mereka akan terus bersama menjayakan pasukan pengaman di bawah UNIFIL. Walaupun cedera, keputusan pertama bukanlah untuk berundur,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Ikmal Hisham sama ada anggota MALBATT boleh membuat tembakan balas jika diserang tentera Israel, Mohamed Khaled berkata berdasarkan panduan keselamatan UNIFIL, pasukan itu dibenarkan membuat tembakan balas untuk mempertahankan diri.

Bagaimanapun, beliau berkata pasukan pengaman tidak dibenarkan membuat tindakan ofensif kerana peranan pasukan itu adalah sebagai tentera pengaman.

Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan sentiasa memastikan anggota pasukan MALBATT melalui latihan dan pendedahan yang mencukupi, sebelum dihantar menyertai mana-mana misi pengaman.

Mengenai kemudahan perubatan, beliau berkata UNIFIL menyediakan dewan bedah yang terletak kira-kira sejam dari kem MALBATT, manakala pasukan itu sendiri mempunyai kemudahan asas rawatan dan mempunyai kerjasama dengan hospital tempatan.

Sejak 1 Okt Israel dilaporkan melancarkan serangan udara besar-besaran dan operasi darat yang belum pernah berlaku sebelum ini ke atas Lubnan dan menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, angka korban akibat serangan Israel melebihi 2,300 orang sejak konflik memuncak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan