AM

APM Usaha Tambah Aset Teknologi Tinggi Mantapkan Operasi Penyelamat Pantai

17/10/2024 01:25 PM

PORT DICKSON, 17 Okt (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memerlukan aset tambahan lebih canggih seperti remote control life bouy atau bot laju yang boleh dikawal dari jarak jauh dan dron bagi memastikan operasi penyelamat pantai dapat dilaksanakan lebih baik serta efisien.

Ketua Pesuruhjayanya Datuk Aminurrahim Mohamed berkata penggunaan peralatan berteknologi tinggi membantu melancarkan lagi operasi mencari dan menyelamat serta mengurangkan risiko dihadapi anggota penyelamat. 

“APM sedang usahakan menambah peralatan itu. Terdapat juga teknologi baharu dron iaitu membawa jaket penyelamat dan dilepaskan (ketika operasi menyelamat) tetapi harganya lebih tinggi, buat masa ini kita tumpukan kepada teknik yang baik untuk menyelamat.

“Penyelamat pantai ini bukan sahaja membantu di laut tetapi di tepi pantai, contohnya kemalangan kecil dan membantu pencarian kanak-kanak hilang,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup ‘Civil Defence Beach Lifeguard Conference (CDLC) Tahun 2024’.

Majlis penutup itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Khairus Masnan Abdul Khalid di Pantai Batu 5, di sini.

Aminurrahim berkata terdapat 48 kawasan penugasan iaitu 42 menara penyelamat pantai dan enam stesen penugasan penyelamat pantai tanpa menara di seluruh negara dengan aset seperti jet ski, All Terrain Vehicle (ATV), portable lifeguard sentry chair, surfboard, inflatable boat, aluminum boat life jacket, throwbag, ring bouy, rescue tube. 

Dalam pada itu, Khairus berkata program berkenaan disertai 67 peserta dan 30 jemputan daripada agensi lain serta seorang peserta antarabangsa dari Bali, Indonesia bertujuan meningkatkan kecekapan dan kemahiran pegawai serta anggota APM. 

Beliau berkata pihaknya sedang dalam tindakan mengambil 302 permohonan penjawatan kontrak memantapkan operasi APM serta dalam proses 60 jawatan tetap yang telah mengikuti latihan serta saringan fizikal dijangka pada Disember ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan