AM

Taiping 150 Ride 2024 Pada 8 Dis Ini Sasar 1,500 Penyertaan - Wong Kah Woh

17/10/2024 02:08 PM

PETALING JAYA, 17 Okt (Bernama) -- Taiping 150 Ride 2024 yang akan berlangsung buat pertama kali pada 8 Dis depan bakal menjadi acara penutup kepada sambutan Tahun Melawat Perak 2024 serta ulang tahun ke-150 Bandar Taiping.

Ahli Parlimen Taiping Wong Kah Woh berkata acara berbasikal yang menyasarkan 1,500 penyertaan itu akan bermula dan berakhir di Taman Tasik Taiping yang ikonik, dengan pelepasan peserta dijadualkan pada 6.45 pagi. 

“Para peserta akan melalui laluan berbasikal yang unik dan mencabar, melintasi kawasan desa indah di Perak termasuk Sepetang, Simpang Empat, dan Kamunting sambil menikmati keindahan alam dan suasana yang damai,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata acara yang dianjurkan bersama Kelab Berbasikal Elit dan Gosportz Sdn Bhd itu bukan sahaja bertujuan merapatkan silaturahim dalam kalangan anggota komuniti, tetapi juga mempromosi Taiping sebagai destinasi berbasikal yang menarik, dengan peserta boleh menikmati pelbagai pemandangan menarik dan kawasan bersejarah. 

Wong berkata penyertaan daripada individu sama ada warga tempatan atau luar negara sangat dialu-alukan, dengan peluang memenangi wang tunai dan cabutan bertuah bernilai lebih RM30,000 ditawarkan kepada peserta.

Taiping 150 Ride menampilkan dua kategori utama iaitu 90km dan 60km, serta kategori kayuhan santai sejauh 20km yang dibuka kepada orang awam.

Wong yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata pendaftaran bagi pelajar berumur tujuh hingga 17 tahun untuk semua kategori adalah percuma. 

Beliau berkata acara itu bertujuan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam aktiviti sihat dan memberi pendedahan kepada sukan berbasikal, yang turut menyumbang kepada pembangunan fizikal dan sosial mereka, katanya.

“Hadiah wang tunai dan pingat akan diberikan kepada pemenang lima tempat teratas setiap kategori sebagai pengiktirafan atas pencapaian mereka,” katanya 

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari laman web rasmi acara di https://gosportz.my/upcoming-events/taiping-150-ride-2024

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan