AM

Kelahiran Hidup Meningkat 7.7 Peratus Pada 2023

17/10/2024 04:15 PM

PUTRAJAYA, 17 Okt (Bernama) -- Kelahiran hidup meningkat 7.7 peratus kepada 455,761 pada 2023 berbanding 423,124 kelahiran pada 2022, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia dalam terbitan Perangkaan Penting 2024.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kelahiran bayi lelaki direkodkan melebihi bayi perempuan iaitu masing-masing 235,981 dan 219,780.

"Peningkatan bilangan kelahiran ini telah mengakibatkan kadar kelahiran kasar (CBR) turut merekodkan peningkatan daripada 12.9 pada 2022 kepada 13.6 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk pada 2023," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Uzir berkata semua negeri merekodkan peningkatan CBR pada 2023 berbanding 2022 kecuali Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya yang merekodkan penurunan daripada 15.7 kelahiran pada 2022 kepada 14.4 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk pada 2023. 

"Terengganu merekodkan CBR tertinggi dengan 21.6 kelahiran manakala WP Kuala Lumpur merekodkan CBR terendah dengan 10.7 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk," katanya.

Selain itu, tujuh negeri merekodkan CBR melebihi paras nasional pada 13.6 kelahiran iaitu Kelantan (19.2), Kedah (15.4), Pahang (14.7), WP Putrajaya (14.4), WP Labuan (14.2) dan Johor (13.7).

Mohd Uzir berkata etnik Melayu menyumbang 67 peratus atau 305,494 kelahiran hidup daripada jumlah kelahiran hidup pada 2023 manakala kelahiran hidup bagi etnik Cina dan India masing-masing merekodkan peningkatan daripada 9.5 peratus dan 4.1 peratus pada 2022 kepada 9.8 peratus dan 4.4 peratus pada 2023. 

Sementara itu, beliau berkata Bumiputera lain meningkat kepada 12.7 peratus berbanding 12.5 peratus pada 2022. Bumiputera lain terdiri Bumiputera Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Bagi kadar kesuburan jumlah (TFR), Mohd Uzir berkata ia merekodkan peningkatan daripada 1.6 anak pada 2022 kepada 1.7 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun pada 2023.

Sejak 1970 hingga 2012, TFR negara telah direkodkan di atas paras penggantian iaitu 2.1 anak bagaimanapun TFR mula menurun di bawah paras penggantian bermula 2013 hingga kini. 

Paras penggantian 2.1 anak ialah purata bilangan anak yang perlu dilahirkan oleh seorang perempuan sepanjang tempoh kesuburannya mencukupi untuk menggantikan dirinya dan pasangannya.

Mohd Uzir turut berkata kematian yang direkodkan pada 2023 ialah 196,965 kematian menurun 4.7 peratus berbanding 206,780 kematian pada 2022 iaitu selepas pandemik COVID-19. 

Beliau berkata kadar kematian kasar (CDR) turut merekodkan penurunan daripada 6.3 kematian pada 2022 kepada 5.9 kematian pada 2023 bagi setiap 1,000 penduduk. 

Bilangan kematian lelaki pada 2023 ialah 112,293 atau 57 peratus daripada jumlah kematian manakala bilangan kematian perempuan ialah 84,672 atau 43 peratus.

Kumpulan umur 70-74 tahun merekodkan jumlah kematian tertinggi pada 2023 dengan 24,516 kematian berbanding kumpulan umur yang lain manakala kumpulan umur lima hingga sembilan tahun merekodkan bilangan terendah dengan 474 kematian pada 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan