AM

NRES Sedia Senarai Plastik Sekali Guna Bermasalah - Nik Nazmi

17/10/2024 02:12 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang mengenal pasti dan menyediakan senarai awal bagi plastik sekali guna yang bermasalah, tidak diperlukan dan boleh dielakkan, bagi memastikan penghapusan plastik sekali guna dilaksanakan dengan teratur.

Menteri berkenaan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata melalui senarai itu, penghapusan dan pengurangan plastik sekali guna dapat dilaksanakan secara bersasar.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) sama ada Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 (MPSR) telah mencapai sasaran atau tidak, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Nik Nazmi mengakui pelaksanaan MPSR sedikit tergendala ekoran pandemik COVID-19 yang menyaksikan peningkatan penggunaan plastik.

“Sebagai contoh, penggunaan plastik dalam kalangan pengguna meningkat susulan COVID-19, kerana orang ramai lebih cenderung membeli makanan serta membeli-belah menerusi platform dalam talian yang menyaksikan penggunaan bungkusan plastik berlebihan,” katanya.

Nik Nazmi berkata penghapusan plastik sekali guna juga menghadapi kekangan kerana bidang kuasa berasingan antara pihak kerajaan Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan.

Beliau berkata caj pencemaran penggunaan beg plastik sekali guna hanya dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Kedah, Johor dan Perlis, sekali gus menunjukkan masih banyak negeri dan sektor tidak melaksanakan agenda bebas plastik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan