AM

Selesai Misi Di George Town, Armada Pasifik Tentera Laut Rusia Berlepas Hari Ini

17/10/2024 07:52 PM

GEORGE TOWN, 17 Okt (Bernama) -- Setelah menyempurnakan beberapa misi penting, Armada Pasifik Tentera Laut Rusia yang berlabuh di Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham (SPCT) di sini sejak Isnin lepas, selamat berlayar hari ini.

Pegawai dan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hadir di SPCT sebagai tanda ucapan terima kasih dan selamat dalam pelayaran kepada Armada Pasifik Tentera Laut Rusia yang terdiri daripada korvet iaitu GromkiyRezkiy serta Aldar Tsydenzhapov dan kapal sokongan Pecheng.

Menurut laman Facebook TLDM, Timbalan Panglima Wilayah Laut 3 TLDM Kepten Yusman Darmawan telah menyampaikan buah tangan iaitu Jeruk Madu Pak Ali kepada Komander Naval Group, Kapten Alexie Antsiferov sebagai tanda ingatan dan persahabatan.

“Turut hadir Penasihat Ketenteraan Rusia di Malaysia, Kapter Victor Shkulepa. Menerusi Kapten Victor, pihak kapal menyatakan perasaan amat gembira berada di Pulau Pinang dengan layanan baik daripada semua pihak dan pelbagai kemudahan yang dekat dengan pelabuhan,” menurut hantaran itu, hari ini.

Sepanjang empat hari di Pulau Pinang, detasmen Rusia itu telah menyempurnakan beberapa misi penting termasuk memberikan penghormatan kepada 89 pelaut yang disemadikan di Tanah Perkuburan Western Road di sini, yang terkorban dalam insiden tragis kapal perang Zhemchug tenggelam pada Pertempuran Pulau Pinang ketika Perang Dunia Pertama, Selasa lepas.

Selain itu, satu resepsi sempena kunjungan mesra Detasmen Armada Tentera Laut Rusia bagi Asia Pasifik itu turut dianjurkan, yang dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Duta Besar Rusia ke Malaysia Naiyl Latypov dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo.

Sementara itu, beberapa kunjungan hormat turut dilakukan oleh delegasi kedutaan Rusia dan destasmen Tentera Laut Rusia di Pulau Mutiara itu.

Pertempuran Pulau Pinang tercetus lewat malam 28 Okt 1914 apabila kapal berkelajuan tinggi Jerman SMS Emden yang berada pada jarak amat dekat dengan Zhemchug melancarkan siri serangan torpedo ke atas kapal Rusia itu.

Dalam beberapa minit, Zhemchug karam dan 82 anak kapal terkorban serta 112 lagi cedera. Kebanyakan mereka disemadikan di Tanah Perkuburan Western Road di sini manakala yang lain di Pulau Jerejak.

Menurut Agensi Berita Rusia, Gromkiy, Rezkiy dan Aldar Tsydenzhapov kini dalam pelayaran untuk melaksanakan tugas di kawasan Asia-Pasifik (APAC).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan