AM

PAC Akan Panggil Johari Abdul Ghani Dan LHDN - Mas Ermieyati

17/10/2024 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam prosiding bermula November depan.

Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata keputusan itu dibuat selepas PAC diberikan taklimat mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 oleh Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi hari ini.

“Antara perkara yang menarik perhatian PAC dalam taklimat pada hari ini adalah Pengurusan Akaun Belum Terima (ABT) di bawah LHDN dan komitmen jaminan 1MDB.

“Sehubungan itu, PAC akan memanggil LHDN dan Jawatankuasa Pasukan Petugas 1MDB yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk prosiding bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung tindakan yang sedang diambil mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

LKAN 3/2024 yang disiarkan baru-baru ini mengesyorkan kerajaan mendapatkan kembali aset berkaitan syarikat 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC International) daripada pelbagai pihak sama ada di dalam mahupun luar negara.

Menurut syor tersebut dana berkenaan penting untuk menampung perbelanjaan balik hutang syarikat 1MDB dan SRC International selain perbelanjaan hutang lain memandangkan Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AAMKA) akan ditutup selewat-lewatnya 2028, seperti ditetapkan dalam Arahan Amanah AAMKA.

LKAN 3/2024 turut menyebut sebanyak 262 atau 31 peratus daripada 842 pinjaman diberi kerajaan Persekutuan mempunyai tunggakan bayaran balik berjumlah RM9.612 bilion setakat 31 Dis 2023.

Tunggakan tersebut berdasarkan ABT, iaitu sejumlah amaun sepatutnya diterima kerajaan pada sesuatu masa berasaskan bil atau melalui dasar, perjanjian atau keputusan kerajaan yang berkuat kuasa.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan