EKONOMI

Pembangunan Kluster Industri Wilayah Tengah Cipta Lebih 10,000 Peluang Pekerjaan - MITI

17/10/2024 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjangkakan sebanyak 10,380 peluang pekerjaan bakal dicipta melalui Pembangunan Kluster Industri di Wilayah Tengah.

MITI dalam satu kenyataan berkata Pembangunan Kluster Industri di Wilayah Tengah itu bakal menyumbang kepada peningkatan beberapa ukuran makro ekonomi negara termasuk pencapaian kolektif Wilayah Tengah pada 2023 yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM754.2 bilion dan anggaran peningkatan tahunan bagi tempoh 2025-2030 kepada RM24.5 bilion.

Anggaran kasar peningkatan purata nilai pelaburan pada 2023 pula berjumlah RM7.57 billion bagi pencapaian kolektif Wilayah Tengah dan dijangka melonjak sebanyak RM12.5 bilion bagi tempoh 2025-2030. 

Terdahulu, Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bil. 7/2024 dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Oktober, bersetuju mengambil pendekatan Pembangunan Kluster Industri seiring dengan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Inisiatif itu akan bermula dengan pembangunan kluster industri di Wilayah Tengah merangkumi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka yang mencatatkan konsentrasi industri tinggi, terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik, aeroangkasa, farmaseutikal serta teknologi makanan.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata inisiatif strategik tersebut bertujuan memperkukuhkan Malaysia sebagai hab pelaburan, pembuatan dan perkhidmatan bagi beberapa sektor tumpuan.

Dalam hal ini, kerajaan bertekad membangunkan kluster industri bersasar bermula dengan Wilayah Tengah berdasarkan kekuatan sedia ada, katanya.

“Ini bermakna kita tidak perlu mewujudkan Pihak Berkuasa Koridor atau menambah bebanan kewangan baharu ke atas Kerajaan Persekutuan sekali gus menjimatkan kos pentadbiran dan peruntukan fiskal, pada masa sama kita dapat memanfaatkan insentif sedia ada,” katanya.

“Saya yakin dengan koordinasi rapat antara MITI, kementerian dan agensi lain serta kerajaan negeri, pendekatan kluster industri ini akan dapat menarik pelaburan tambahan, mencipta peluang pekerjaan baharu, meningkatkan ekonomi setempat serta menggalakkan pertumbuhan saksama dan inklusif,” kata Tengku Zafrul.

Model pembangunan kluster industri berprestasi tinggi itu telah dilaksanakan dengan jayanya di beberapa negara maju dan MITI akan memastikan usaha senegara serta penerapan amalan terbaik global sebagai tunjang utama dalam pelaksanaan inisiatif ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan