EKONOMI

ASEAN Giat Kerjasama Promosi Sektor Halal -MITI

17/10/2024 08:16 PM

KUALA LUMPUR, 17 (Bernama) -- Beberapa usaha melibatkan kerjasama antara negara ASEAN sedang dilaksanakan bagi tujuan mempromosi produk serta perkhidmatan berkaitan halal, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menurut kementerian itu, inisiatif ini termasuk kerjasama melalui ASEAN Working Group on Halal Food (AWGHF) yang melibatkan kesemua negara ASEAN; Working Group on Halal Products and Services (WGHAPAS) di bawah Inisiatif Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle serta Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS).

Usaha mempromosi sektor halal ASEAN turut disokong Malaysia Technical Cooperation Program (MTCP) yang merupakan program bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran kepada negara membangun, kata MITI menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

MITI menjawab soalan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengenai usaha dan kerjasama yang dibuat oleh kerajaan untuk memperluas industri halal dalam kalangan negara ASEAN memandangkan industri itu kini dianggarkan bernilai sehingga US$2 trilion di peringkat antarabangsa.

Kata MITI, di peringkat tempatan, kerajaan berusaha mempercepatkan pengeluaran sijil halal dan membangunkan industri-industri tempatan yang berasaskan produk halal supaya lebih kompetitif dan berdaya tahan.

“Langkah-langkah ini dijangka mempertingkatkan pengeluaran dan eksport halal seperti yang disasarkan dalam Halal Industry Master Plan (HIMP) 2030,” jelasnya.

MITI turut menyarankan pemain industri mengoptimumkan pelbagai perjanjian perdagangan bebas yang disertai oleh Malaysia selain dapat memberikan akses kepada pasaran antarabangsa dengan duti yang rendah, termasuk Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (ATIGA) dan Perjanjian Kerjasama Komprehensif ASEAN – Jepun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan