AM

Kunjungan Hormat Berkumpulan Beri Peluang Lebih Ramai Bertemu Tun Wan Junaidi

17/10/2024 08:57 PM

KUCHING, 17 Okt (Bernama) -- Langkah Astana Negeri Sarawak menganjurkan sesi kunjungan hormat secara berkumpulan membolehkan lebih ramai pegawai kanan jabatan dan agensi persekutuan mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang Dipertua Negeri Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie berkata setakat ini seramai 552 pegawai kanan daripada 143 jabatan dan agensi persekutuan di negeri berkenaan berpeluang mengadakan kunjungan hormat itu.

Beliau berkata sesi pertama kunjungan diadakan pada 11 Sept lepas melibatkan 196 pegawai daripada 25 jabatan dan agensi persekutuan di Sarawak.

“Sesi kedua pula diadakan pada 2 Okt lepas dengan melibatkan seramai 191 pegawai daripada 51 jabatan dan agensi persekutuan untuk sektor pembangunan dan ekonomi.

“Pada hari ini, kita meraikan seramai 165 pegawai daripada 67 jabatan dan agensi persekutuan bagi sektor pendidikan dan sosial,” katanya ketika berucap di sesi ketiga majlis kunjungan hormat itu di Dewan Besar, Astana Negeri di sini hari ini.

Isteri Yang Dipertua Negeri Sarawak Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi turut hadir dalam sesi ketiga kunjungan hormat itu yang diketuai oleh Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Ahmad Nadzri Mohd Hassan.

Syed Hamzah berkata Astana Negeri menerima banyak permohonan daripada pelbagai pihak yang mahu mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sarawak namun permohonan itu tidak dapat dipenuhi berikutan kekangan masa.

“Oleh sebab itu, bagi memastikan semua agensi persekutuan berpeluang mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sarawak maka kami daripada pihak Astana mengusulkan untuk mengumpulkan semua agensi persekutuan mengikut sektor,” katanya.

Dalam majlis itu, Wan Junaidi turut menandatangani dan menghadiahkan dua buah buku hasil tulisan beliau masing-masing bertajuk “Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen” dan “Kosa Kata dan Peribahasa Melayu Sarawak” kepada semua pegawai yang hadir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan