AM

AS Mahu Tingkat Kerjasama Dalam Sektor Gas, Aeroangkasa Dengan Sarawak

17/10/2024 03:05 PM

KUCHING, 17 Okt (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) berhasrat untuk memperkukuh kerjasama dengan Sarawak, khususnya dalam sektor gas luar pesisir dan aeroangkasa.

Duta AS ke Malaysia Edgard D. Kagan berkata Sarawak memiliki potensi besar dan kepakaran dalam kedua-dua sektor itu selain mencapai kemajuan yang ketara dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

Perkara tersebut katanya antara yang dibincangkan dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam kunjungan hormat beliau ke atas Abang Johari hari ini.

“Kami sedang mencari kaedah untuk menggalakkan pelaburan AS ke Malaysia dan mempertimbangkan Sarawak sebagai pangkalan. Kami juga berbincang tentang pelbagai perkara daripada gas luar pesisir sehinggalah aerongkasa," katanya kepada pemberita selepas kunjungan tersebut. 

Kagan turut memuji usaha Sarawak dalam mempromosikan agenda tenaga boleh diperbaharui.

“Saya sentiasa kagum dengan kepakaran dan komitmen beliau (Abang Johari) untuk mencari jalan memperluas pengeluaran tenaga bersih serta meraih manfaat daripada kemahiran dan keupayaan Sarawak dalam tenaga,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan