JENAYAH & MAHKAMAH

Chegubard Akan Kemuka Representasi Gugur Tuduhan Keluar Kenyataan Fitnah 

18/10/2024 02:04 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah yang akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Januari lepas.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Badrul Hisham, 45, memaklumkan perkara itu semasa sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah berkata pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen berkaitan kes itu kepada pihak peguam dan perkara itu disahkan oleh Muhammad Rafique.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Jan depan untuk sebutan kes. Sebelum ini, mahkamah menetapkan 26 dan 27 Nov ini untuk perbicaraan kes berkenaan.

Pada 11 Julai lepas, Badrul Hisham mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah yang akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Badrul Hisham didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara di sini pada 6 petang 22 Jan lepas mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan