EKONOMI

Ekonomi Malaysia diunjur Berkembang 4.5 -5.5 Peratus Pada 2025

18/10/2024 04:00 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) — Ekonomi Malaysia diunjur berkembang antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus pada 2025 berbanding jangkaan 4.8 peratus dan 5.3 peratus pada 2024, menurut Kementerian Kewangan (MoF).   

Dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2025 yang dikeluarkan hari ini, katanya sektor perkhidmatan kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan yang disumbangkan oleh aktiviti pelancongan, eksport yang berterusan dan aktiviti berkaitan ICT yang rancak.

Sektor pembuatan turut dijangka terus berkembang berikutan prestasi lebih baik dalam industri berorientasikan eksport terutamanya segmen elektrik dan elektronik (E&E) didorong oleh permintaan luar untuk semikonduktor yang semakin meningkat.

Secara keseluruhan, katanya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar pada 2024 disemak naik antara 4.8 peratus dan 5.3 peratus melebihi sasaran awal antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus.

Pada 2025, inflasi keseluruhan dijangka kekal terkawal antara 2.0 peratus dan 3.5 peratus berikutan pemulihan dalam bekalan global serta harga komoditi global yang menyederhana.

“Bagaimanapun, sebarang perubahan dalam dasar domestik akan memberi tekanan terhadap kenaikan inflasi," katanya.

Sementara itu, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia dijangka menyederhana berikutan aktiviti pengeluaran yang stabil.

 

Pasaran buruh

 

Pasaran buruh dijangka kekal stabil pada 2025 seiring dengan jangkaan prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih baik bagi ekonomi domestik dan perdagangan luar.

Strategi untuk menangani isu struktural dalam pasaran buruh khususnya berkaitan gaji dan produktiviti dijangka meningkatkan kecekapan perniagaan dan permintaan buruh.

“Oleh itu, kadar pengangguran dijangka bertambah baik kepada 3.1 peratus pada 2025. Jumlah guna tenaga diunjur berkembang sebanyak 2.1 peratus kepada 16.6 juta orang dengan lebih 80 peratus peluang pekerjaan tertumpu dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan," katanya.

Produktiviti buruh diunjur meningkat sebanyak 2.7 peratus kepada RM101,700 pada 2025 dipacu oleh penerimaan teknologi termaju, digitalisasi dan amalan pengurusan moden secara meluas untuk meningkatkan rantaian nilai dalam kalangan perusahaan khususnya industri  pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).

 

Kerajaan komited untuk penuhi visi jangka masa panjang

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan beriltizam untuk merealisasikan wawasan jangka masa panjang bagi pertumbuhan yang mampan serta terangkum dan kerangka Ekonomi MADANI akan kekal menjadi panduan rangka tindakan bagi dasar dan reformasi ekonomi.

"Kerajaan  berhasrat untuk mewujudkan masa depan yang makmur kepada semua rakyat Malaysia dengan memupuk ekonomi berdaya saing dan inovatif, meningkatkan kecekapan sektor awam dan memastikan kesaksamaan sosial," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dengan defisit fiskal dianggarkan berkurangan kepada 4.3 peratus daripada KDNK tahun ini dan seterusnya bertambah baik kepada 3.0 peratus bagi tempoh jangka masa sederhana.

Menurut Anwar, komitmen kerajaan terhadap pengurusan hutang secara berhemat dan peralihan kepada subsidi bersasar adalah teras kepada pembaharuan fiskal demi kemampanan dan keutuhan kedudukan kewangan negara, seterusnya memberikan jaminan asas kepada pertumbuhan ekonomi pada masa depan.

 

Permintaan domestik dan swasta

 

Kira-kira 60 peratus daripada ekonomi, penggunaan swasta diunjurkan terus menerajui pertumbuhan.

Penggunaan swasta dijangka meningkat sebanyak 5.9 peratus terutamanya disumbangkan oleh peningkatan dalam pendapatan boleh guna dan disokong oleh aktiviti ekonomi domestik yang mampan, keadaan pasaran buruh yang memberangsangkan dan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Faktor penyumbang lain termasuk program bantuan tunai bersasar yang berterusan akan memberi sokongan tambahan kepada perbelanjaan isi rumah pada 2025, menurut MoF.

Sementara itu, permintaan domestik dijangka berkembang sebanyak 6.1 peratus disokong oleh perbelanjaan swasta yang meningkat pada 6.6 peratus manakala sumbangan sektor swasta kepada pertumbuhan KDNK kekal tinggi sebanyak 5.1 mata peratusan sejajar dengan perbelanjaan penggunaan dan pelaburan yang kukuh.

Perbelanjaan awam pula dijangka berkembang sebanyak 4.1 peratus dan menyumbang 0.7 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK.

 

Pertumbuhan sektor utama Malaysia

 

Sektor pembuatan kekal kukuh sebanyak 4.5 peratus pada 2025 dalam keadaan pertumbuhan ekonomi global yang stabil terutamanya didorong oleh pelaksanaan dasar utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional.

Menurut MoF, pertumbuhan industri berorientasikan domestik dan eksport dijangka terus menyokong prestasi sektor ini sejajar dengan permintaan domestik yang berdaya tahan dan persekitaran luar yang memberangsangkan.

Prestasi sektor pertanian pula dijangka kekal stabil pada tahun depan dengan pertumbuhan sebanyak 1.9 peratus disokong oleh semua subsektor kecuali perhutanan dan pembalakan.

Subsektor kelapa sawit dijangka berkembang secara marginal didorong oleh peningkatan pengeluaran dan buah tandan segar berikutan kawasan penuaian kelapa sawit yang lebih besar, keadaan cuaca yang menggalakkan dan pasaran buruh yang stabil.

Menurut MoF, harga minyak sawit mentah diunjur stabil dalam lingkungan RM3,500 hingga RM4,000 setan metrik seiring dengan pengeluaran global yang lebih baik.

"Selain itu, pengeluaran minyak kacang soya global yang lebih tinggi dengan permintaan minyak sawit mentah yang stabil daripada negara pengimport utama dijangka menyumbang kepada kestabilan harga," katanya.

Subsektor getah dianggar berkembang disokong oleh peningkatan pengeluaran getah asli terutamanya daripada segmen pekebun kecil yang kekal menjadi penyumbang utama kepada jumlah pengeluaran getah selain harga getah yang stabil, sokongan proaktif kerajaan dan peluasan kawasan getah matang.

 

Sektor perlombongan diunjur menguncup sebanyak 1.0 peratus pada tahun depan susulan prestasi lembap dalam subsektor utama.

 

Menurut MoF, subsektor gas asli dijangka merosot berikutan pengeluaran lebih rendah terutamanya disebabkan penutupan yang dirancang bagi dua fasiliti di Sarawak untuk tujuan penyelenggaraan dan permintaan yang menyederhana daripada negara pengimport utama seperti Jepun dan China. 

Keseluruhan output gas asli dijangka berada di bawah kapasiti pengeluaran 2024 meskipun loji baharu dijadual memulakan operasi seperti medan Bindu di Terengganu dan Gumusut-Kakap-Geronggong-Jagus Timur di Sabah.

Dari segi harga, minyak mentah Brent dijangka berada pada purata US$75 hingga US$80 setong pada tahun depan.

Sementara itu, sektor pembinaan diunjur merekodkan pertumbuhan sebanyak 9.4 peratus pada 2025 khususnya didorong oleh penyegeraan pelaksanaan projek infrastruktur  strategik.

Katanya sektor ini dijangka mendapat manfaat terutamanya daripada aktiviti kejuruteraan awam seperti LRT3 Fasa Dua dan Projek Sarawak-Sabah Link Road Fasa Dua.

Subsektor bangunan kediaman juga dijangka meningkat disokong oleh permintaan berterusan untuk perumahan mampu milik di bawah kerangka Ekonomi MADANI serta pembangunan projek baharu sektor swasta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan