AM

PM Anwar Bentang Belanjawan 2025 Di Dewan Rakyat

18/10/2024 04:23 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat pada 4.05 petang.

Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan belanjawan itu di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan serta laman YouTube Parlimen.

Belanjawan 2025 adalah belanjawan ketiga dibentangkan di bawah kerajaan MADANI pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menurut takwim di laman rasmi Parlimen, rang undang-undang itu akan dibahas di peringkat dasar selama lapan hari bermula 21 Okt, diikuti sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 6 Nov dan  diteruskan dengan perbahasan di peringkat Jawatankuasa selama 12 hari bermula 13 Nov.

Semalam, Anwar menerusi perkongsian di laman Facebook beliau berkata Belanjawan 2025 akan memacu lagi pertumbuhan ekonomi dan memberi keadilan kepada rakyat terbanyak.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada warga kerajaan serta semua pihak terlibat yang telah memerah keringat dan memberi cadangan bernas untuk menjayakan belanjawan berkenaan. 

Terdahulu, Perdana Menteri tiba di lobi Dewan Rakyat pada 4 petang diiringi Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan