EKONOMI

Kerajaan Rangka Pelbagai Langkah Tingkat Taraf Hidup Rakyat - Tinjauan Ekonomi

18/10/2024 04:48 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan merangka pelbagai langkah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat termasuk menerusi bantuan tunai program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang melibatkan peruntukan RM8 bilion dan memanfaatkan 8.5 juta penerima tahun ini.

Berdasarkan Laporan Tinjauan Ekonomi 2025 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, sebanyak RM5.3 bilion diagihkan menerusi tiga fasa bagi program STR sehingga akhir September lepas.

Laporan itu juga menyebut selain bantuan tunai, antara langkah lain dirangka kerajaan ialah kemudahan pembiayaan serta penyediaan infrastruktur dan infostruktur komunikasi yang lancar.

"Peruntukan untuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meningkat kepada RM740 juta daripada RM130 juta yang memanfaatkan sekitar 810,000 penerima.

"Pada masa sama, kerajaan memperluas Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada semua pelajar dengan peruntukan RM788.1 juta yang memanfaatkan lebih lima juta pelajar melibatkan jumlah perbelanjaan RM775.6 juta untuk meringankan perbelanjaan berkaitan persekolahan," menurut laporan itu.

Berhubung pelaksanaan Akaun Fleksible Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diperkenalkan Mei lepas, laporan itu memaklumkan KWSP meluluskan 3.28 juta permohonan pengeluaran berjumlah RM8 bilion iaitu 66.9 peratus daripada jumlah baki akaun terbabit hingga akhir Julai 2024.

Laporan itu juga memaklumkan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) menerima peruntukan tambahan RM500 juta tahun ini, dan setakat Julai lepas, sekitar 4,500 individu menyertai program itu dengan jumlah perbelanjaan RM337.3 juta.

Inisiatif Kampung Angkat MADANI yang bertujuan menambah baik kehidupan di luar bandar dengan peruntukan RM100 juta pula menyaksikan RM86.3 juta disalurkan kepada kementerian dan agensi berkaitan untuk pelaksanaan projek di 43 kampung, setakat Julai lepas.

Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan RM1 bilion untuk Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) bagi komuniti menjana pendapatan antaranya dalam bidang pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, pelancongan dan hospitaliti serta herba dan kesihatan.

"Geran antara RM50,000 hingga RM100,000 disediakan untuk memperkasakan 10,000 komuniti melalui bidang yang dikenal pasti di bawah program ini," menurut laporan itu.

Berhubung program BUDI MADANI bagi menyalurkan semula subsidi diesel sebanyak RM200 sebulan kepada golongan layak di Semenanjung, sekitar 120,000 permohonan diluluskan setakat Julai lepas kepada rakyat yang memiliki kenderaan diesel persendirian serta petani, penternak dan pekebun kecil komoditi berdaftar.

Laporan itu juga menyatakan bahawa kerajaan sentiasa memperbaharui usaha tatakelola termasuk penambahbaikan dalam proses perolehan untuk mempercepat pelaksanaan projek.

Selain itu, kerajaan juga komited untuk mengurangkan birokrasi dan mempercepat penyiapan projek.

Sehubungan itu, Pasukan Petugas Khas Pembaharuan Agensi (STAR) diketuai Ketua Setiausaha Negara (KSN) telah menyegerakan pelaksanaan projek bertujuan menangani isu kesesakan di hospital dan menambah baik kemudahan di sekolah serta klinik.

"Pada 2024, mandat STAR diperluas kepada penyegeraan projek menyelenggara lif dan membaik pulih kuarters penjawat awam," menurut laporan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan