AM

Peranan Majlis Perundingan Gaji Diperkukuh, Tetapkan Penanda Aras Dengan Negara Luar

18/10/2024 04:58 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Peranan Majlis Perundingan Gaji Negara akan terus diperkukuh termasuk menetapkan penanda aras dengan organisasi sama di luar negara bagi mempercepat penyediaan ekosistem gaji lebih holistik dan mengurangkan jurang gaji.

Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2025 dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, organisasi luar negara yang boleh dijadikan penanda aras ialah Fair Work Commission di Australia dan National Wage Council di Singapura.

Berdasarkan laporan itu kerajaan juga akan menambah baik liputan perundingan kolektif melalui kerjasama tripartite untuk meningkatkan struktur gaji dan faedah bukan gaji.

"Kerajaan sedang mengkaji penyediaan garis panduan gaji permulaan dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk kelayakan pendidikan, pengalaman, kategori kemahiran dan lokasi pekerja bagi pampasan yang lebih baik," menurut laporan itu.

Selain itu, di bawah inisiatif GEAR-UP, entiti syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga komited untuk menjadi contoh dalam kalangan sektor korporat bagi memastikan semua pekerja organisasi dan ekosistem syarikat menerima gaji bulanan yang wajar dengan pelarasan kenaikan gaji tahunan sejajar dengan peningkatan produktiviti.

“Keseluruhan langkah tersebut dapat membantu mewujudkan mekanisme penetapan gaji lebih seimbang yang boleh meningkatkan produktiviti dan pengembangan perniagaan seterusnya menyumbang kepada peningkatan pampasan pekerja dan menggalakkan pembangunan ekonomi yang inklusif,” menurut laporan itu.

Laporan tinjauan itu juga menyebut tumpuan sewajarnya perlu diberikan kepada komuniti Orang Asli, orang kurang upaya (OKU) dan kumpulan rentan lain untuk mengurangkan ketidaksamaan dan meningkatkan keterangkuman.

Menurut laporan itu, kerajaan akan terus menyediakan sistem pendidikan khas dan infrastruktur untuk meningkatkan penyertaan ekonomi komuniti berkenaanmelalui peluang pekerjaan dan keusahawanan serta kesaksamaan gaji.

Selain itu, kerajaan akan memberikan insentif kepada majikan yang menggaji wanita kembali semula berkerjaya, menyediakan perkhidmatan padanan pekerjaan, mempertingkatkan kemudahan perkhidmatan penjagaan mampu milik serta menggalakkan aturan kerja fleksibel untuk menarik dan mengekalkan bakat.

"Langkah meluaskan penglibatan masyarakat sivil dan menyokong inisiatif akar umbi yang memperjuangkan keperluan dan hak komuniti tersebut dapat membantu membina masyarakat yang lebih inklusif dan adil," menurut laporan itu.

Belanjawan 2025 juga akan menumpukan kepada pendekatan tatakelola yang menyeluruh dan inklusif dengan memberikan penekanan kepada kestabilan sosial, ekonomi dan politik bagi memastikan trajektori pembangunan Malaysia terus mampan dan makmur.

Menurut laporan berkenaan, langkah itu selaras dengan strategi nasional 'Menaikkan Lantai' yang bertujuan membina masyarakat yang lebih adil dengan menyokong golongan kurang berkemampuan daripada aspek ekonomi untuk memastikan setiap individu dapat menikmati keterjaminan ekonomi bermaruah.

Menurut laporan itu, Belanjawan 2025 perlu memberikan keutamaan kepada mewujudkan pekerjaan berkualiti dan taraf hidup yang wajar selain memastikan kesaksamaan dan inklusiviti, selain meningkatkan akses universal kepada pendidikan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti.

“Selain itu, membangunkan infrastruktur bertaraf dunia berpaksikan rakyat, menambah baik perlindungan sosial, memelihara warisan negara dan muafakat serta melindungi kedaulatan dan kemaslahatan negara," demikian menurut laporan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan