DUNIA

Malaysia Dan Jordan Bincang Bantuan Kemanusiaan Untuk Palestin

18/10/2024 05:24 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Jordan mengadakan perbincangan untuk memperkukuh kerjasama dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, dengan menyelaras usaha melalui platform antarabangsa utama di tengah-tengah krisis yang semakin memuncak.

Perbincangan itu berlangsung melalui panggilan telefon pada Khamis antara Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Luar Jordan Ayman Safadi.

Dalam satu hantaran di X, Kementerian Luar Negeri Malaysia, yang dikenali sebagai Wisma Putra (@MalaysiaMFA), menyatakan bahawa perbualan itu tertumpu kepada isu utama melibatkan krisis Timur Tengah yang semakin meruncing, terutamanya selepas tindakan agresif Israel terhadap negara jiran, termasuk Lubnan.

“Kedua-dua pihak turut membincangkan kerjasama dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan dengan segera kepada rakyat Palestin melalui pelbagai platform antarabangsa,” menurut kenyataan kementerian itu.

Sejak 7 Okt tahun lepas, Israel melancarkan serangan kejam ke atas Semenanjung Gaza, mengorbankan lebih 42,400 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 99,000 yang lain.

Sementara itu, jumlah korban akibat serangan udara Israel ke atas Lubnan sejak konflik bermula pada 8 Okt 2023 mencecah 2,412 dan bilangan individu yang cedera meningkat kepada 11,285 - menurut laporan Majlis Menteri Lubnan pada Khamis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan