AM

Belanjawan 2025: MOT Terima Peruntukan RM750 Juta Perkasa Sektor Pengangkutan Awam

18/10/2024 07:20 PM

PUTRAJAYA, 18 Okt (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) menerima sejumlah RM750 juta dalam Belanjawan 2025 untuk inisiatif pengangkutan awam, sejajar dengan matlamat kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat dan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

MOT dalam satu kenyataan memaklumkan, 44 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan mengurus itu, akan digunakan bagi subsidi pengangkutan awam, yang meliputi perkhidmatan rel darat dan pengangkutan udara.

“Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan yang terbaik bagi rakyat Malaysia, di kawasan bandar dan luar bandar,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

MOT memaklumkan antara inisiatif penting yang diteruskan ialah subsidi My50 dan Pas Mutiara dengan peruntukan RM226 juta, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 180,000 pengguna di Lembah Klang dan utara.

Selain itu, subsidi Tren Tidak Ekonomik (TTE) dengan peruntukan RM22 juta untuk laluan Tumpat-Kuala Lipis dan laluan tambahan ke Gemas, meningkatkan ketersambungan antara bandar dan luar bandar.

Inisiatif lain termasuk inisiatif Pas Perjalanan Percuma untuk pelajar dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) melalui perkhidmatan KTM Komuter dengan peruntukan sebanyak RM3.942 juta.

“Selain itu, peruntukan lebih daripada RM200 juta untuk subsidi perkhidmatan luar bandar (RAS) yang menghubungkan kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak, termasuk laluan baru iaitu Kota Kinabalu ke Layang-Layang serta Miri ke Long Banga ini, dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 800,000 penduduk desa dan pedalaman Sabah dan Sarawak,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan MOT, kerajaan juga memperuntukkan RM48 juta untuk subsidi tiket penerbangan Flysiswa dan musim perayaan, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 160,000 rakyat di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Kenyataan itu memaklumkan, MOT komited untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat melalui peningkatan aksesibiliti dan ketersambungan yang lebih baik di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan