AM

Belanjawan: Perolehan Kapal Baharu APMM Mampu Tingkat Keupayaan Jaga Perairan Negara

18/10/2024 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Pengumuman peruntukan pembelian tiga kapal baharu bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam Belanjawan 2025 dilihat tepat pada masanya berikutan kekangan aset yang dihadapi agensi itu ketika ini dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata pengumuman  itu juga menandakan komitmen berterusan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memberikan justifikasi kukuh tentang keperluan mendesak APMM dalam menjaga keselamatan perairan negara khususnya di Laut China Selatan.

“Penambahan aset ini adalah tepat pada masanya kerana APMM kini berhadapan kekangan keupayaan aset dalam menjaga keselamatan di Zon Maritim Malaysia terutamanya di kawasan sempadan perairan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Rosli berkata peruntukan tersebut akan menambah keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap keprihatinan Kerajaan MADANI dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat seiring dengan Nilai Teras Malaysia MADANI iaitu Kesejahteraan Sosial dan Keyakinan dalam melakukan perubahan ke arah kebaikan.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan susulan peruntukan berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini mengumumkan penambahan tiga aset baharu iaitu sebuah kapal misi pelbagai guna dan dua kapal ronda generasi baharu serta menaik taraf enam kapal di bawah Ship Life Extension Programme (SLEP) Fasa 2.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan