EKONOMI

REHDA Gesa Institusi Kewangan Perkenal Skim "Step-up Financing" Masing-masing

18/10/2024 11:34 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) menggesa institusi kewangan mengambil perhatian terhadap langkah kerajaan untuk melaksanakan projek perumahan untuk rakyat.

REHDA juga mahu kalangan institusi kewangan memperkenalkan skim “step-up financing” masing-masing.

Presiden Datuk Ho Hon Sang berkata ini akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mengakses program inovatif itu sekali gus kerajaan dapat memastikan perumahan yang mencukupi untuk kumpulan B40.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2025 hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan MADANI meletakkan keutamaan memastikan perumahan mampu milik untuk rakyat.

Beliau mengumumkan hampir RM900 juta bagi melaksanakan 48 Program Residensi Rakyat (PRR) dan 14 projek Rumah Mesra Rakyat termasuk dua projek PRR baharu di Port Dickson dan Seberang Perai Tengah.

Anwar berkata 30 projek PRR dijangka siap penghujung 2025 yang bakal memberi manfaat kepada hampir 17,500 penghuni baharu.

Ho berkata pelepasan cukai individu sehingga RM7,000 ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan bagi rumah berharga sehingga RM500,000 serta pelepasan cukai sehingga RM5,000 diberikan bagi rumah berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000 akan banyak membantu pembeli rumah pertama.

Usaha lain menerusi belanjawan itu ialah LPPSA akan memperkenalkan Skim Pembiayaan Perumahan Muda untuk penjawat awam muda memohon pembiayaan perumahan sehingga 40 tahun.

Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) pula akan menjamin pinjaman pembeli rumah pertama bernilai sehingga RM500,000 yang dibangunkan di atas tanah-tanah wakaf.

Skim “step-up financing” diperkenalkan di bawah SJKP sebagai jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion khusus untuk golongan muda yang ingin memiliki rumah pertama.

Skim  itu juga menawarkan kemudahan bayaran balik pinjaman yang lebih rendah bagi tempoh lima tahun pertama.

“Peruntukan berterusan menerusi jaminan pembiayaan perumahan oleh kerajaan sehingga RM10 bilion bagi manfaat 20,000 pembeli rumah melalui SJKP akan terus memberi manfaat kepada bakal pembeli rumah tanpa penyata pendapatan bulanan,” katanya sebagai reaksi awal susulan pengumuman Belanjawan 2025.

Ho berkata semua usaha itu menggambarkan hasrat kerajaan memastikan pemilikan rumah untuk semua rakyat, dan membantu belia yang baru memulakan kerjaya dari segi kewangan untuk membeli rumah.

Beliau berkata skim “step-up financing”, khususnya, merupakan inisiatif yang telah dimohon oleh REHDA dalam pelbagai sesi libat urus mengenai belanjawan selama ini.

“Kami menyeru institusi kewangan untuk turut mengambil perhatian terhadap langkah ini dan memperkenalkan skim “step-up financing” mereka sendiri, sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mengakses program inovatif ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebagai industri yang kerap mengadakan sesi libat urus dengan kerajaan Persekutuan dan negeri, ia berharap dapat melaksanakan penyerahan dan menetapkan janji temu secara dalam talian memandangkan langkah ini akan menyumbang kepada pengurangan kos untuk menjalankan perniagaan.

Sementara itu, Mah Sing Group Bhd berkata pengumuman pelepasan cukai yang diberikan ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan untuk pembeli rumah kali pertama akan memberi manfaat positif kepada rakyat Malaysia yang berhasrat memiliki kediaman pertama.

Pelepasan cukai ini boleh dituntut bagi tiga tahun taksiran berturut-turut ke atas perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2027.

“Mah Sing komited untuk menyokong inisiatif ini dengan menawarkan rangkaian hartanah yang meluas dengan harga mampu milik yang memenuhi keperluan pembeli rumah kali pertama dan segmen berpendapatan sederhana,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, peruntukan sebanyak RM50 juta bagi menaik taraf sistem perparitan menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk mengurangkan banjir, sekali gus melindungi penduduk dan perniagaan.

Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, berikutan cuaca pada masa ini yang tidak menentu, peruntukan itu adalah tepat pada masanya demi kesinambungan perniagaan dan melindungi kesejahteraan ekonomi negara.

Selain itu, usaha kerajaan untuk menyokong penggunaan peralatan cekap tenaga dengan peruntukan e-rebat bernilai RM70 juta sudah pasti membolehkan operasi perniagaan beralih kepada peralatan yang lebih lestari dan cekap dalam masa terdekat.

Leong berkata, memandangkan pengurangan pelepasan karbon menjadi semakin kritikal, inisiatif kerajaan untuk memperkenalkan Cukai Karbon yang bermula dengan industri berintensif tinggi adalah tepat pada masanya.

“Pendekatan ‘stick’ (penalti) ini akan memberi dorongan kepada industri untuk lebih meneroka penggunaan teknologi rendah karbon dalam seluruh perniagaan mereka.

"Selain itu, kesan domino boleh dicapai di seluruh rantaian bekalan secara progresif, seterusnya menyokong hasrat negara untuk mencapai matlamat karbon sifar bersih menjelang 2050," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan