AM

Pekerja Bukan Warganegara Bakal Diwajibkan Carum KWSP - PM Anwar

22/10/2024 06:51 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan bercadang mewajibkan semua pekerja bukan warganegara untuk mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Kewangan itu berkata kerajaan komited memberikan layanan adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan selari dengan piawaian antarabangsa.

“Cadangan ini akan dilaksanakan secara berfasa,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi menggalakkan lebih ramai pekerja tidak formal dan mereka yang tidak punyai pendapatan tetap menabung untuk persaraan, Anwar berkata insentif padanan i-Saraan KWSP ditingkatkan kepada 20 peratus ketimbang 15 peratus tertakluk pada had maksimum insentif padanan tahunan RM500 atau RM5,000 seumur hidup.

Beliau berkata Program i-Suri pula diteruskan secara insentif padanan menerusi caruman Kerajaan dan caruman secara aktif daripada pencarum

“Agenda perlindungan sosial akan terus diperkasakan bagi memastikan rakyat terbanyak dilengkapkan dengan simpanan persaraan yang munasabah serta caruman insurans daripada musibah,” katanya.

Beliau berkata Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri akan menanggung sehingga 70 peratus caruman pekerja dengan peruntukan RM100 juta.

“Ini sebagai persediaan ke arah penetapan caruman wajib sebagai satu daripada syarat memperbaharui lesen vokasional bagi individu bekerja sendiri tahun hadapan. Syarikat pengendali juga diseru untuk menanggung baki caruman sebagai iltizam membela kebajikan pekerja,” katanya.

Anwar berkata program insurans sosial iaitu Skim Perlindungan Tenang diteruskan dengan kerjasama Bank Negara, industri insurans dan takaful untuk manfaat sehingga dua juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Mereka layak menuntut baucar RM30 untuk membiayai sebahagian daripada kos membeli produk Perlindungan Tenang yang menawarkan perlindungan akibat kematian, kemalangan diri dan risiko am seperti kebakaran dan banjir,” katanya.

Menuju negara menua, beliau berkata KWSP sedang mengkaji semula skimnya bagi memperkukuh pendekatan pemindahan antara generasi iaitu sebahagian simpanan KWSP ahli boleh dipindahkan terus ke dalam akaun KWSP ahli keluarga terdekat.

“Kerajaan bercadang untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu ke atas caruman dalam Skim Persaraan Swasta dan bayaran premium anuiti tertangguh sehingga tahun taksiran 2030,” katanya.

Bagi mengurangkan kos penyerahhakkan dan menggalakkan hibah perlindungan insurans serta takaful kepada ahli keluarga, Anwar berkata surat cara penyerahhakkan polisi insurans hayat dan sijil takaful keluarga secara pemberian kasih sayang atau melalui pemegang amanah akan dikenakan duti setem.

Ia akan dilaksanakan pada kadar berperingkat antara RM10 hingga RM1,000 berdasarkan nilai pindah milik, katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan