AM

Belajawan 2025: KKR Terima RM10.35 Bilion Perkasa Kualiti Perkhidmatan, Infrastruktur Rakyat

19/10/2024 12:08 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) menerima RM10.35 bilion peruntukan keseluruhan bagi Belanjawan 2025, iaitu kenaikan sembilan peratus berbanding RM9.511 bilion tahun ini. 

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata hampir kesemua inisiatif cadangan kementerian dipersetujui dan disertakan dalam Belanjawan 2025 dan ia mencerminkan komitmen kerajaan dalam merealisasikan hasrat meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Ini selaras dengan teras utama kerangka Ekonomi MADANI yang tercerna dalam Belanjawan 2025 ini iaitu ‘menaikkan lantai’ melalui inisiatif meningkatkan kualiti perkhidmatan dan infrastruktur bertaraf dunia demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebahagian besar peruntukan pembangunan yang merupakan 90 peratus daripada keseluruhan belanjawan ditumpukan untuk membina, memperbaiki, mengganti dan menaik taraf jalan serta jambatan di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.

Nanta berkata belanjawan itu juga akan digunakan untuk kajian perlindungan dan pembaikan cerun, membina, menyenggara dan membaik pulih bangunan kerajaan persekutuan, pembinaan persimpangan bertingkat serta jejambat.

Selain itu, ia juga digunakan untuk pengambilan balik tanah untuk projek-projek jalan dan jambatan serta pelaksanaan projek komputer dan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dalam usaha meningkatkan keupayaan dan kapasiti kementerian.

Menurut Nanta, Aspirasi MYJalan terus diperkukuh antaranya menerusi peruntukan RM2.8 bilion untuk menyelenggara Jalan Persekutuan dengan RM1 bilion dikhususkan untuk Jalan Sekunder, Jalan Felda dan Jalan Industri.

Beliau berkata sebanyak RM450 juta dikhaskan untuk memperkasa kontraktor Kecil Bumiputera Kelas G1-G4 yang kini berjumlah 15,185 bagi kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan dan peningkatan peruntukan itu akan memperkasa lebih banyak kontraktor terbabit. 

Beliau berkata RM178 juta diperuntukkan bagi projek pemasangan lampu jalan baharu dan lampu isyarat pintar di Jalan Persekutuan seluruh negara melalui Aspirasi MYJalan.

“Bagi terus memperkasa program MYJalan, RM30 juta disediakan kepada 115 Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya yang akan memangkin keputusan dan tindakan dalam pelaksanaan kerja-kerja mendadak serta ad hoc yang memerlukan tindakan segera,” katanya.

Menurut Nanta, kerja-kerja itu termasuk pembaikan kecil turapan/tampalan jalan, pembaikan perabot jalan, mengecat garisan jalan yang pudar, pembaikan kecil sambungan pengembangan, pembaikan kerosakan akibat bencana alam dan pembaikan kecil kerosakan lampu jalan/lampu Isyarat.

“Belanjawan 2025 mempamerkan komitmen tinggi kerajaan untuk melabur bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pembangunan infrastruktur di bandar dan desa, khususnya akses jalan raya selamat dan selesa bagi merancakkan Ekonomi MADANI yang lebih makmur,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan