BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 AM

Kestabilan Politik Berlu Selaras Dengan Tadbir Urus Baik Untuk Pacu Ekonomi - PM Anwar

19/10/2024 06:59 PM

KOTA KINABALU, 19 Okt (Bernama) -- Kestabilan politik perlu diselaraskan dengan tadbir urus yang baik sebagai satu usaha bagi menyelesaikan semua isu berkaitan rakyat sekali gus memacu ekonomi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata tadbir urus yang baik bukan sahaja membolehkan dasar yang jelas digubal, malah ia juga dapat mencegah sebarang penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“Kita bernasib baik, selepas beberapa tahun pergolakan dalam arena politik, dalam dua tahun lepas kita telah memperoleh kestabilan politik, tetapi kestabilan politik bukanlah jawapan segalanya. Jawapannya ialah untuk mempunyai tadbir urus yang baik oleh pemimpin yang bertanggungjawab.

“Singkirkan negara ini daripada rasuah dan salah guna kuasa. Dengan kestabilan politik itu, kita telah merangka dasar yang memberi manfaat kepada semua orang,” katanya ketika merasmikan Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah (SIBEC) 2024 di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Anwar berkata kestabilan politik dan dasar kerajaan yang jelas juga membolehkan program seperti SIBEC 2024 dilaksanakan sebagai idea baharu ke arah mengukuhkan lagi ekonomi Sabah, yang beberapa dekad lepas hanya dikenali dengan industri perkayuannya, selain perindustrian dan keterjaminan makanan.

Justeru Perdana Menteri mahu ahli akademik dan pakar khususnya dalam bidang ekonomi biru di universiti tempatan termasuk Universiti Malaysia Sabah terlibat secara langsung dalam perbincangan berkaitan industri dan menyokong usaha menjadikan Sabah sebahagian penting destinasi ekonomi yang kukuh dan berdaya maju.

“Inisiatif ekonomi biru sudah tentu menjadi tumpuan baharu, dan bukan semua negara, masyarakat malahan negeri di Malaysia yang boleh mendapat manfaat daripada ekonomi lautan biru ini. Mungkin secara kecil-kecilan, boleh.

“..tetapi negeri ini mendapat rahmat, Alhamdulillah Sabah ini boleh menjadi lebih hebat lagi jika anda fokus kepada isu ini (ekonomi biru). Inilah yang kita panggil pembangunan yang lebih luas, inklusif dan mampan,” katanya.

Anwar berkata beliau komited untuk memberikan sokongan penuh terhadap pembangunan ekonomi Sabah serta inisiatif ekonomi biru negeri.

“Malaysia kini hab semikonduktor, Sarawak kini merupakan sebuah hab tenaga, kini kita dapat idea baik daripada Hajiji yang pintar ini, Ketua Menteri (Sabah) mahu menjadikan melalui lautan biru (ekonomi), hab baharu bagi rantau ini.

“Sebagai Perdana Menteri, saya akan memberikan semua sokongan yang diperlukan untuk memastikan Sabah berjaya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan