BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 EKONOMI

Pelepasan Cukai Tinggi Insurans Pendidikan, Perubatan Galak Perancangan Kewangan - LIAM

19/10/2024 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt Bernama) -- Langkah kerajaan meningkatkan pelepasan cukai pendapatan individu ke atas bayaran premium insurans pendidikan dan perubatan kepada RM4,000 dilihat sebagai insentif perancangan kewangan yang baik.

 Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) Raymond Lew berkata langkah itu secara tidak langsung akan dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia membeli pelan insurans perubatan dan kesihatan serta polisi pendidikan untuk anak-anak mereka.

Sebelum ini, pelepasan cukai pendapatan ke atas premium insurans pendidkan dan perubatan adalah pada RM3,000.

Beliau juga turut memuji langkah meningkatkan pelepasan cukai pendapatan individu untuk perbelanjaan perubatan sehingga RM10,000, yang turut meliputi pelan insurans perubatan dan kesihatan dengan ciri pembayaran bersama.

"Dengan menggalakkan insurans perubatan dan kesihatan dengan pelan pembayaran bersama untuk keluarga, ia akan membantu pemegang polisi menguruskan kos premium perubatan dalam tempoh jangka panjang dan membantu membiayai keperluan perubatan jangka panjang mereka pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurutnya, pelan insurans pembayaran bersama membolehkan syarikat insurans menawarkan premium yang lebih rendah kerana pemilik polisi berkongsi kos perbelanjaan perubatan.

Lew berkata komitmen kerajaan untuk meneruskan Program Baucar Perlindungan Tenang dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan industri insurans dan takaful akan terus memperkasakan kumpulan B40 untukmemperkenalkan perancangan kewangan dalam keluarga mereka.

Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada sehingga dua juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), yang layak menuntut baucar RM30 untuk membiayai sebahagian daripada kos pembelian produk Perlindungan Tenang yang menawarkan perlindungan bagi kematian, kemalangan dan risiko am seperti kebakaran dan banjir.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan