BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 SUKAN

Tien Ci-Chiew Sien Kempunan Ke Final Malaysia Super 100

19/10/2024 07:15 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Beregu campuran negara Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien terlepas peluang meneruskan kemaraan ke pentas final pada Kejohanan Badminton Malaysia Super 100 apabila tersingkir kepada wakil Jepun di peringkat separuh akhir di sini hari ini.

Pada perlawanan di Stadium Juara Bukit Kiara di sini, Tien Ci-Chiew Sien yang turun sebagai pilihan kedua kejohanan akur dengan kekalahan 19-21, 14-21 kepada pilihan ketiga kejohanan Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara dalam tempoh 45 minit.

Di pentas final esok, beregu Jepun itu akan akan membuat perhitungan menentang pasangan Taiwan Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan.

 “Keinginan untuk menang memang ada tetapi kami macam hilang keyakinan sebab banyak buat kesilapan. Secara keseluruhan, prestasi kami semakin baik namun masih tak cukup konsisten. Mungkin ini masalah mental,” kata Tien Ci selepas perlawanan itu.

Sementara itu, dalam satu insiden yang tidak dijangka, kecederaan serius dipercayai pada lutut kanan Ng Qi Xuan telah memaksa beliau menarik diri bersama pasangannya Yap Rui Chen, dari kategori beregu wanita pada pusingan separuh akhir.

Gandingan profesional negara itu sedang mendahului dengan 22-20 dan 20-18 menentang wakil negara Go Pei Kee dan Teoh Mei Xing, ketika insiden malang itu berlaku.

Qi Xuan terjatuh ketika cuba membalas serangan lawan dengan pukulan 'smash' sebelum diusung keluar dari gelanggang.

Pei Kee dan Mei Xing yang beraksi sebagai pilihan keempat kejohanan menyatakan rasa simpati terhadap nasib Qi Xuan dan berharap agar beliau segera sembuh dari kecederaan tersebut.

Pei Kee-Mei Xing seterusnya akan melakukan perhitungan bersama pasangan Taiwan Nicole Gonzales Chan-Yang Chu Yun pada aksi final, esok. 

Dalam pada itu, aksi final beregu lelaki menyaksikan wakil negara Low Hang Yee-Ng Eng Cheong menentang wakil Amerika Syarikat Chen Zhi Yi-Presley Smith.

Hang Yee-Eng Cheong melangkah ke final selepas menewaskan gandingan Taiwan Wu Hsuan Yi-Ye Hong Wei21-19, 21-17 pada aksi separuh akhir.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan