AM

Belanjawan 2025 Perkasa Wanita, Rapat Jurang Gender

20/10/2024 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Beberapa inisiatif Belanjawan 2025 melibatkan wanita yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai agenda pemerkasaan golongan itu di samping memberi indikator jelas berhubung sumbangan mereka kepada negara. 

Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia Prof Dr Haslinda Abdullah berkata sasaran kerajaan antaranya berkaitan meningkatkan penglibatan wanita sebagai lembaga pengarah dalam 100 syarikat teratas tersenarai di Bursa Malaysia, secara tidak langsung dapat merapatkan jurang gender di Malaysia.

Selain itu, beliau berkata langkah kerajaan menggalakkan kaum hawa kembali bekerja, dengan pelbagai inisiatif galakan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) boleh direalisasikan dengan memastikan peluang latihan komprehensif diperuntukkan kepada mereka.

“Dalam konteks keseimbangan kerja dan kehidupan untuk wanita berkerjaya, ruang lebih fleksibel perlu diberikan kepada mereka yang menjadi tonggak utama keluarga dan juga mereka yang tersepit di tengah-tengah menanggung ahli keluarga, lebih-lebih lagi pada zaman ini dengan beberapa kerjaya boleh dijalankan di rumah. 

“Bagi mereka yang perlu berada di pejabat, perkhidmatan penjagaan kanak-kanak harus ditambah baik, termasuk penyediaan ruang penyusuan selesa oleh majikan. Peningkatan kualiti hidup wanita akan memberi kesan kepada kesejahteraan mereka dari sudut emosi dan mental, seterusnya memberi impak positif kepada keluarga dan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Belanjawan 2025 dibentang Anwar yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat, Jumaat lepas, antara lain menyentuh mengenai Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) diperhebat di bawah KPWKM sebagai usaha melahirkan lebih ramai tokoh korporat dalam kalangan wanita.

Selain itu, program Returnship akan dilaksanakan yang bertujuan menggalakkan wanita kembali bekerja dalam sektor kewangan dengan menyediakan kemudahan latihan dan kemudian menghubungkan dengan bakal majikan yang bersesuaian untuk kembali bekerja.

Kerajaan turut bercadang memberikan potongan cukai tambahan sebanyak 50 peratus bagi penggajian yang dibayar untuk tempoh 12 bulan kepada majikan yang menggaji wanita kembali bekerja.

Sementara itu Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan di Prince Sultan University, Riyadh, Dr Nadisah Zakaria berkata peruntukan RM650 juta untuk menyokong wanita dan belia dalam bidang keusahawanan disifatkan langkah ke arah memupuk keterangkuman dan kepelbagaian dalam landskap perniagaan.

Beliau berkata inisiatif berkenaan mencerminkan pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap peranan kritikal yang dimainkan oleh wanita dalam pembangunan ekonomi dan keusahawanan.

“Penyediaan sokongan kewangan melalui institusi seperti SME Bank, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat dan Majlis Amanah Rakyat bukan sahaja memudahkan akses kepada modal, tetapi juga memperkasakan usahawan wanita untuk mengembangkan perniagaan dan berinovasi dalam bidang masing-masing.

“Usaha ini sejajar dengan matlamat yang lebih luas iaitu kesaksamaan jantina dan pemerkasaan ekonomi untuk pertumbuhan yang mampan. Apa yang utama kita mahu lihat bagaimana diperuntukan ini disalurkan dan sampai kepada golongan sasaran seterusnya dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Nadisah berkata usahawan wanita hari ini harus menumpukan terhadap penguasaan bidang berkaitan literasi digital dan e-dagang, amalan perniagaan mampan, pengurusan kewangan, rangkaian dan kerjasama, kekangan yang perlu diatasi, akses kepada maklumat serta keseimbangan kerja dan kehidupan. 

Beliau berkata penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan merangkumi 92.7 peratus dalam perkhidmatan, pembuatan (5.1 peratus), pembinaan (1.4 peratus) dan sektor pertanian (0.8 peratus).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan