EKONOMI

Belanjawan 2025: Pelarasan Cukai Eksport Bantu Industri Penapisan Minyak Sawit Lebih Berdaya Saing

20/10/2024 10:49 PM

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Pelarasan dalam cukai eksport di bawah Belanjawan 2025 akan membantu industri penapisan minyak sawit menjadi lebih berdaya saing berbanding Indonesia, menurut Glenauk Economics.

Firma itu berkata di bawah jadual cukai eksport lama, Indonesia mempunyai kelebihan berbanding Malaysia dalam segmen hiliran tetapi jadual cukai eksport baharu pada bulan November akan memberi kelebihan yang sama kepada Malaysia.

Berkuat kuasa 1 November 2024, jadual duti eksport Malaysia yang disemak semula akan termasuk cukai eksport tambahan melibatkan harga minyak sawit mentah (MSM) antara RM3,601-RM3,750 setiap tan, tertakluk kepada kadar duti eksport 8.5 peratus diikuti RM3,751-RM3,900 pada 9.0 peratus; RM3,901-RM4,050 (9.5 peratus) dan lebih RM4,050 (10 peratus).

Glenauk Economics berkata implikasi penuh pelarasan akan dianalisis dalam laporan bulanannya yang seterusnya.

"Selain itu, memandangkan cukai tidak diperluaskan kepada produk hiliran (seperti stearin) ia tidak membantu industri oleokimia yang sedang bergelut dengan peningkatan persaingan dalam pasaran eksport dari Indonesia susulan peningkatan kapasiti baharu," katanya dalam laporan hari ini.

Pada Jumaat lepas, Kementerian Kewangan (MOF)mengumumkan kadar duti eksport bagi MSM telah disemak semula bagi memastikan bekalan domestik komoditi itu mencukupi.

Langkah berkenaan bertujuan untuk meningkatkan pemprosesan dan aktiviti hiliran bagi menghasilkan produk nilai tambah lebih tinggi seperti biodiesel dan oleokimia.

Menurut lampiran yang dikeluarkan bersama pembentangan Belanjawan 2025, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa kadar duti eksport MSM yang disemak semula akan berkuat kuasa pada 1 November 2024.

Duti eksport sedia ada untuk MSM berharga RM2,250 setiap tan dan ke bawah akan kekal pada sifar peratus diikuti 3.0 peratus untuk harga antara RM2,250 dan RM2,400; 4.5 peratus untuk RM2,401-RM2,550; 5.5 peratus untuk RM2,551-RM2,700 dan 5.5 peratus untuk RM2,701-RM2,850.

Kadar tersebut akan meningkat kepada 6.0 peratus bagi MSM berharga antara RM2,851 dan RM3,000 dan 6.5 peratus untuk harga antara RM3,001 dan RM3,150.

Bagi MSM berharga antara RM3,151 dan RM3,300 setiap tan, duti eksport akan ditetapkan pada 7.0 peratus, diikuti 7.5 peratus untuk RM3,301-RM3,450 dan 8.0 peratus untuk RM3,451-RM3, 600.

Untuk terus menyokong kemampanan industri minyak sawit, MOF mencadangkan untuk menyemak semula ambang levi keuntungan luar biasa kepada 3.0 peratus bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Ambang harga MSM baharu itu akan ditetapkan pada RM3,150 setiap tan untuk Semenanjung Malaysia dan RM3,650 bagi Sabah dan Sarawak, berkuat kuasa 1 Januari 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan