AM

Rangkaian Kedua 5G Tingkatkan Daya Saing, Tarik Pelaburan

21/10/2024 10:14 AM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Rangkaian kedua 5G berpotensi meningkatkan daya saing negara dan menarik pelaburan daripada syarikat berasaskan teknologi untuk menubuhkan fasiliti perniagaan di Malaysia, kata Penyelaras Akademik Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof. Madya Dr. Leow Chee Yen.

Beliau berkata rangkaian kedua 5G yang bakal diumumkan kerajaan, seperti yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Jumaat lalu, akan memperlihatkan perkembangan infrastruktur negara yang setanding dengan negara maju.

"Ia juga akan mempercepatkan proses pendigitalan dalam pelbagai sektor ekonomi. Dengan adanya dua rangkaian 5G, kita berharap ia akan mempercepatkan pelaksanaan kes-kes penggunaan industri yang canggih seperti automasi, robotik, dan kecerdasan buatan, yang memerlukan rangkaian yang sangat responsif, pantas, dan mempunyai kebolehpercayaan tinggi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain itu, Leow turut memuji pengumuman Belanjawan 2025 yang memperuntukkan RM120 juta untuk meningkatkan capaian internet di semua Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), sekolah, kem tentera, dan institusi MARA.

"Fasiliti internet di kebanyakan institusi ini kini sudah usang. Penggunaan teknologi moden akan menyediakan akses internet yang lebih pantas dan cekap kepada semua pihak yang terlibat," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Leow turut menyambut baik penggunaan MyDigital ID sebagai aplikasi tunggal kerajaan yang menyatukan semua agensi berkaitan, sekali gus memudahkan urusan rakyat.

Beliau berkata aplikasi ini membolehkan rakyat mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan menggunakan satu akaun, semuanya di hujung jari.

"Bagi saya, yang lebih penting adalah ciri-ciri keselamatan canggih yang diterapkan dalam MyDigital ID. Ia menggunakan teknologi terkini seperti enkripsi, blockchain, pengesahan pelbagai faktor, dan kecerdasan buatan untuk memastikan semua transaksi atas talian dilakukan dengan selamat dan boleh dipercayai.

"Selain itu, penggunaan MyDigital ID juga dapat mengurangkan kes-kes kecurian identiti, pemalsuan, dan penipuan siber yang semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Sementara itu, Pakar Teknologi Maklumat, Dr T. Sashi Kumar menyambut baik peruntukan sebanyak RM100 juta bagi memperkasakan fungsi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara.

Menurutnya, langkah ini akan menambah baik infrastruktur serta perkhidmatan sedia ada, sekali gus memberi manfaat kepada golongan Perniagaan Kecil, Mikro, dan Sederhana (PMKS).

"Ia akan membantu mempercepatkan proses pendigitalan perniagaan serta menyelesaikan isu-isu berkaitan pembiayaan dan e-pembayaran, seperti yang sering ditekankan oleh para peniaga.

"Langkah ini juga akan menggalakkan sektor PMKS untuk mendigitalkan perkhidmatan mereka dan mempercepatkan penggunaan pembayaran elektronik," jelasnya.

Dalam pada itu, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM Prof. Dr. Jafri Din mengulas mengenai peruntukan RM20 juta bagi memperkukuh peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan, yang dilihat mampu memperkuatkan pengurusan sistem penipuan dalam talian di negara ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan