EKONOMI

Kelulusan Pembangunan Taman Industri KIGIP Antara Terpantas Dalam Sejarah - Tengku Zafrul

21/10/2024 02:33 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan projek Pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) merupakan antara yang terpantas dalam sejarah dengan kelulusan kebenaran merancang diperoleh dalam masa kurang tiga bulan daripada tarikh pelancaran.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa berkongsi kejayaan itu berkata kebiasaannya proses ini mengambil masa lebih daripada enam bulan.

"Kemajuan projek di landasan yang betul (on track). Projek kini dipantau rapi oleh Pasukan Petugas Khas (PPK) yang diketuai oleh MITI (Sayap Pelaburan) dan Unit Perancangan Ekonomi (UPEN) Perak," katanya semasa membentangkan Kad Laporan MITI bagi suku ketiga 2024, di sini, hari ini.

Majlis Pecah Tanah KIGIP disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ogos lalu.

Tengku Zafrul berkata penyiasatan tanah sedang dijalankan oleh SD Guthrie Bhd dengan sokongan  agensi teknikal bagi proses rawatan tanah yang dijangka bermula pada Januari 2025.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri Perak dan kementerian berkenaan dalam mempercepatkan  proses," katanya.

Projek KIGIP dilaksanakan secara pendekatan Keseluruhan Kerajaan menerusi kerjasama dan sinergi antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Perak serta SD Guthrie dan Permodalan Nasional Bhd.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan