AM

GM Klang Perkukuh Kehadiran Di Sabah Melalui Big Sabah Sale 2024

22/10/2024 10:14 AM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- GM Klang Wholesale City bersedia memperkukuhkan kehadirannya di Sabah dengan menyertai edisi kedua Big Sabah Sale 2024, yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Okt di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Pengurus Kanan Komunikasi Jenama GM Klang Wholesale City Norsuhaida Othman berkata lapan pemborong terpilih dari GM Klang akan mempamerkan produk mereka di Pavilion GM Klang sepanjang acara tersebut, dengan matlamat meneroka potensi pasaran yang kian berkembang di Sabah.

"Sebagai peneraju dalam industri pemborongan, kami komited untuk menyokong pemborong kami dalam meneroka peluang perniagaan baharu sambil memperluaskan pengaruh kami di Malaysia Timur, terutamanya di Sabah, yang memiliki potensi pasaran yang besar dan berkembang pesat.

“Inisiatif ini selaras dengan visi kami untuk meluaskan jangkauan GM Klang di seluruh Asia dan untuk mengukuhkan hubungan perniagaan kami dengan pemborong bukan sahaja di Sabah tetapi juga di negara jiran seperti Brunei, Thailand, Indonesia, dan Filipina, yang turut mengambil bahagian dalam acara ini,” katanya.

Beliau berkata promosi ini mencerminkan slogan mereka, “Beli Lebih, Jimat Lebih,” membolehkan pengunjung menikmati tawaran dan diskaun eksklusif terutamanya semasa promosi Happy Hour dalam acara tersebut.

“Ini juga membolehkan pemborong kami berhubung dengan pembeli berpotensi yang boleh menjadi rakan kongsi perniagaan mereka di Sabah, termasuk peniaga, ejen, atau pemasar afiliasi,” katanya.

Pengunjung yang inginkan lebih banyak penjimatan, digalakkan untuk mengunjungi Pavilion GM Klang, yang akan mempamerkan pelbagai produk daripada pemborong berbeza.

Pempamer termasuk Elena Fashion, iGOZO, PQ Bagss, Boston Concept Store, A to Z Fashion Wholesale, Omiso Global, Kiriman Kampung, dan Pusat Borong Terlajak Murah, yang menawarkan pelbagai pilihan barangan pada harga yang tidak dapat ditandingi.

“Pengunjung berpeluang meneroka pelbagai kategori produk, termasuk barangan gaya hidup, hiasan rumah, makanan ringan tradisional dan tempatan, aksesori, fesyen, dan banyak lagi,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan