AM

4.4 Juta Kenderaan Singapura Masuki Johor, RM87.94 Juta Kutipan RC Setakat Sept - Loke

22/10/2024 03:07 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Sejumlah 4.4 juta kenderaan dari Singapura memasuki kedua-dua pintu masuk Johor dan Singapura dengan kutipan caj jalan (RC) mencecah RM87.94 juta setakat September lepas, menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata secara purata 16,107 kenderaan memasuki Malaysia dari Singapura setiap hari.

“Hingga September 2024, setiap hari dianggarkan sebanyak 89,818 perjalanan dilakukan oleh pelbagai kenderaan yang merentasi sempadan Johor-Singapura melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Bangunan Sultan Ismail (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) yang meminta purata jumlah kenderaan merentas sempadan Johor-Singapura setiap hari mengikut pecahan jenis kenderaan dan jumlah kenderaan Singapura serta hasil kutipan RC.

Beliau berkata jumlah keseluruhan kenderaan yang didaftarkan di Malaysia dan di Singapura itu merangkumi 31,194 kereta, motosikal (53,000), bas (3,531) dan lori ( 2,093).

Menjawab soalan tambahan Tan yang ingin tahu adakah hasil kutipan RC dapat dimanfaatkan untuk tujuan pengangkutan awam di Johor dan diletakkan di bawah satu tabung amanah, Loke berkata pihaknya akan berunding dengan pihak Kementerian Kewangan supaya kutipan itu disalurkan semula bagi tujuan pengangkutan awam.

“Kutipan RC ini sekarang seperti kita tahu bahawa keseluruhan hasil kerajaan dimasukkan dalam akaun hasil namun daripada jumlah ini setiap RM20 yang dikutip sebanyak RM5 dikembalikan kepada kerajaan Johor.

“Memang betul apabila Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru–Singapura siap kelak kita memerlukan lebih banyak rangkaian bas di kawasan Johor Bahru dan sudah tentu memerlukan peruntukan tambahan, mungkin satu daripada caranya kita berunding dengan Kementerian Kewangan supaya apa yang dikutip melalui RC disalurkan kembali kepada pengangkutan awam di Johor Bahru khususnya,” katanya.

Beliau berkata sejumlah RM91.37 juta kutipan RC direkodkan pada tahun lepas dan ia dijangka meningkat melebihi RM100 juta pada tahun ini berikutan peningkatan jumlah kenderaan yang memasuki Johor dari Singapura.

Ketika menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang ingin tahu bagaimana kerajaan menggunakan keuntungan daripada kutipan RC untuk menguruskan kesesakan khususnya pada waktu puncak, Loke berkata pihaknya membantu dengan menambah lebih banyak bas pengangkutan terutamanya bas henti-henti di Johor Bahru.

“Perkara ini memang dalam perhatian dan kita sedang berunding dengan kerajaan negeri Johor dan Kementerian Kewangan supaya boleh menggunakan sebahagian hasil RC untuk tambah kekerapan bas henti-henti bagi menggalakkan lebih ramai menggunakan bas antara Johor Bahru ke Singapura,” katanya.

Mengenai Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) ke atas kenderaan asing yang memasuki negara ini, Loke menjelaskan daripada 10,094 kenderaan yang diperiksa sejak 1 hingga 20 Okt lepas hanya 599 atau kira-kira enam peratus sahaja yang belum memohon VEP daripada pihak berkuasa.

“Ini menunjukkan pematuhan yang agak tinggi dan bagi saya ini menunjukkan apa kita laksanakan mencapai objektifnya iaitu untuk mewajibkan kenderaan Singapura daftar VEP.

“Berkenaan RC, ini adalah timbal balik kalau kita caj RM20, pihak Singapura caj $6.5 Dolar Singapura,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menggunakan pendekatan penguatkuasaan dengan notis amaran kepada mana-mana kenderaan Singapura yang masih belum memohon VEP bagi fasa pertama bermula 1 Okt lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan