AM

Pelaburan Bagi Kesejahteraan Kanak-kanak Bukan Sekadar Kewajipan Moral - Abang Jo

22/10/2024 03:30 PM

KUCHING, 22 Okt (Bernama) -- Pelaburan bagi kesejahteraan kanak-kanak bukan sekadar kewajipan moral semata-mata, tetapi ia juga adalah satu keperluan ekonomi, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata kajian menunjukkan bahawa pelaburan awal dalam pendidikan dan kesihatan memberikan pulangan yang signifikan, bukan sahaja kepada individu tetapi juga masyarakat.

“Dasar sosial memainkan peranan penting dalam menangani cabaran-cabaran ini. Ia bukan sekadar jaringan keselamatan, ia adalah asas untuk pembangunan mampan.

“Dengan melabur dalam sistem perlindungan sosial, kita boleh memberikan sokongan kepada golongan paling rentan, termasuk migran, penduduk setinggan dan mereka yang terjejas oleh perubahan iklim,” katanya ketika berucap pada Persidangan Dasar Sosial Serantau Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Persidangan Dasar Sosial Serantau selama dua hari yang bermula hari ini akan memberi tumpuan kepada kepentingan melabur dalam masa depan kanak-kanak, manakala Forum @KitaConnect pada 9 Nov bakal menonjolkan pemimpin muda yang memperjuangkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Abang Johari berkata di Sarawak, kerajaan negeri telah membuat kemajuan besar dalam mempertingkatkan rangka kerja perlindungan sosialnya dengan inisiatif yang bertujuan memastikan tiada kanak-kanak tercicir.

Beliau berkata sejak 2020, Sarawak telah memperkenalkan elaun selepas bersalin (Bantuan Ibu Bersalin) kepada wanita hamil dan kanak-kanak, bersama dana endowmen bagi meningkatkan kesejahteraan kewangan kanak-kanak pada masa hadapan.

“UNICEF melaporkan bahawa bagi setiap dolar yang dilaburkan dalam pembangunan awal kanak-kanak, terdapat pulangan sehingga US$12 dalam faedah ekonomi.

“Ini adalah hujah yang menarik mengapa kita perlu mengutamakan pelaburan kita kepada kanak-kanak. Tenaga kerja masa depan di rantau kita bergantung pada keputusan yang kita buat hari ini, ” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan