DUNIA

Malaysia Siap Sedia Memimpin ASEAN Dengan Tumpuan Pada Keterangkuman Dan Kemampanan

22/10/2024 06:52 PM

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Malaysia komited untuk membina kepercayaan strategik dalam kalangan negara-negara luar melalui dialog yang berterusan, diplomasi, dan semangat muhibah semasa memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pada majlis pelancaran logo berinspirasikan Bunga Raya dan bertemakan "Keterangkuman  dan Kemampanan" bagi Pengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Wisma Putra pada Selasa, beliau berkata Malaysia, bersama negara anggota lain, berhasrat untuk memperluas perkongsian ekonomi dengan negara-negara di luar sempadan ASEAN.

Malaysia juga akan terus berusaha mendapatkan komitmen yang lebih besar untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dalaman ASEAN, sambil memastikan ASEAN dapat memanfaatkan kemajuan dalam sains, teknologi, dan inovasi serta memperoleh faedah daripada transformasi digital dan teknologi baharu, katanya.

Menjelaskan keutamaan utama sepanjang tempoh Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, Mohamad berkata Malaysia akan memastikan elemen keterangkuman dan kemampanan, yang menjadi tema bagi tahun 2025 diberikan keutamaan dalam usaha pembinaan komuniti serantau.

"Ini akan melibatkan usaha yang lebih besar untuk merapatkan jurang pembangunan, meningkatkan taraf hidup, dan pada masa yang sama mengurangkan kesan perubahan iklim," katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Penyelaras bagi Tonggak Ekonomi ASEAN); Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Penyelaras bagi Tonggak Sosiobudaya ASEAN) dan Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.

Turut hadir adalah Pegawai Kanan Kerajaan, Ketua-Ketua Perwakilan Asing ke Malaysia serta wakil Pertubuhan Antarabangsa dan wakil media.

Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada 11 Okt semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima tukul kayu Pengerusi ASEAN daripada rakan sejawatnya dari Laos, Sonexay Siphandone.

Anwar berkata, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 akan memulakan bab baharu di bawah "Visi Komuniti ASEAN 2045".

Selaras dengan kerangka MADANI, Mohamad berkata Malaysia telah menggariskan nilai saling bergantung "Keterangkuman" dan "Kemampanan" sebagai teras agendanya sepanjang ia menjadi Pengerusi ASEAN, dan prinsip-prinsip ini akan disepadukan dalam semua aspek kerjasama ASEAN.

Pada 2025, ASEAN akan memperingati ulang tahun ke-10 penubuhan Komuniti ASEAN dan Malaysia berhasrat untuk menerima pakai Visi Komuniti ASEAN 2045, yang akan menetapkan keutamaan strategik untuk 20 tahun akan datang.

"Saya sentiasa percaya bahawa sebagai sebuah komuniti, kita bukan sahaja telah berjaya mengekalkan, tetapi juga bertahan dan mencapai kejayaan dalam menghadapi pelbagai rintangan bersama selama beberapa dekad. Kita telah mencapainya dengan cara ASEAN," katanya.

Malaysia pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

Diasaskan pada 8 Ogos 1967, ASEAN kini terdiri daripada 10 negara anggota Asia Tenggara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.

Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN masih lagi dalam proses. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan