AM

Pelepasan Air Empangan Dilaksanakan Secara Berperingkat - Exco Perak

22/10/2024 05:48 PM

IPOH, 22 Okt (Bernama) -- Pihak berkuasa negeri Perak sedang memulakan strategi melalui pelepasan air secara terkawal di kesemua empangan termasuk loji rawatan air (LRA), sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata perkara itu, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Garis Panduan Pengurusan Keselamatan Empangan Malaysia (MyDAMS) dan Suruhanjaya Empangan Besar Antarabangsa (ICOLD).

Beliau berkata pelepasan air bagi empat empangan yang dikawal selia oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), dua empangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan tujuh LRA Lembaga Air Perak (LAP), bertujuan mengurangkan kapasiti simpanan air dan ia dipantau rapi oleh pihak berkenaan.

“Paras air di Stesen Janakuasa Temengor, Bersia, Kenering dan Chenderoh bakal diturunkan lagi oleh TNB melalui mesin penjanaan dan sistem alur limpah mereka, untuk memastikan empangan terbabit bersedia menerima jumlah taburan hujan yang lebih besar pada musim hujan di penghujung tahun.

“Tindakan penurunan kapasiti simpanan air empangan ini ialah inisiatif TNB bagi menyediakan ruang yang mencukupi bagi kesemua empangan untuk kesiapsiagaan sekiranya menerima kadar intensiti hujan tinggi,” katanya pada sidang media berkaitan status terkini empangan dalam negeri di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah JPS Perak Ahmad Shahrir Md Nazri, Pengurus Besar TNB Perak Datuk Sharuddin Mohd Simin, Ketua Pengurusan Aset Hijau TNB Power Generations Sdn Bhd Mohd Zaini Jaafar dan Jurutera Kerja Kanan Operasi LAP Nor Bahri Yaacob.

Mohammad Nizar berkata Empangan Bukit Merah yang dikawal selia oleh JPS menunjukkan baki stok simpanan semasa untuk kegunaan pengairan dan bekalan air mentah berada pada tahap 100 peratus dan status paras air semasa adalah normal setakat Ahad lepas (20 Okt). 

“Empangan Bukit Merah masih mempunyai baki simpanan untuk menampung air banjir sehingga paras 9.14 meter (bahaya) dan pelepasan air melalui alur limpah telah dilakukan pada 15 Sept lepas dan dihentikan sementara pelepasan pada 18 Okt lepas, bagi mengurangkan risiko limpahan air sungai ketika fenomena air pasang besar.

“Pelepasan air Empangan Bukit Merah akan melalui ibu bekalan bagi bekalan air ke Rancangan Pengairan Kerian yang meliputi Kompartmen A (Sungau Acheh), Kompartmen B (Titi Serong) dan Kompartmen C (Tanjung Piandang dan Kuala Kurau), malah JPS sentiasa memantau keadaan cuaca selain menilai keadaan semasa kawasan hiliran empangan sebelum pelepasan air dilakukan,” katanya.

Beliau berkata ketujuh-tujuh LRA milik LAP iaitu LRA Kota Lama Kiri, LRA Kampung Senawar, LRA Sultan Idris Shah II, LRA Kampung Senin, LRA Kampung Paloh, LRA Teluk Kepayang dan LRA Kampung Gajah, beroperasi dengan baik namun turut dipantau keadaannya.

“LRA Kota Lama Kiri antara yang berisiko kerana kedudukan pam yang berada di pinggir sungai berisiko untuk tenggelam jika paras air naik, namun kita telah pindahkan ke kawasan tinggi dan selamat,” katanya.

Mohammad Nizar berkata secara umumnya semua paras muka sauk LRA di sepanjang Sungai Perak meningkat satu hingga dua meter daripada paras normal sepanjang minggu lepas, namun kesemua LRA setakat ini beroperasi dengan baik.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan