EKONOMI

Sistem Penyimpanan Tenaga Kunci Integrasi Tenaga Solar - Citaglobal

22/10/2024 07:02 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Sistem penyimpanan tenaga mampu memainkan peranan penting kepada fasa penting peralihan tenaga hijau Malaysia kerana ia mengupayakan pengurusan tenaga boleh baharu (TBB) yang berkesan serta menyokong pembangunan masa depan yang mampan dan rendah karbon, kata Citaglobal Bhd.

Pengarah Eksekutif bahagian tenaga Citaglobal Aimi Aizal Nasharuddin berkata meskipun Malaysia menggabungkan lebih banyak TBB ke dalam grid, tumpuan harus diberikan untuk membangunkan sistem yang berdaya tahan serta fleksibel dan mampu memenuhi peningkatan permintaan.

“Dengan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) seperti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri Malaysia (MYBESS), kami bukan sahaja menetapkan asas untuk keterjaminan tenaga tetapi juga menyediakan bekalan TBB yang kukuh pada tarif yang kompetitif dari segi kos.

“Inisiatif seperti Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) juga membuka jalan kepada penggunaan tenaga bersih yang lebih besar oleh korporat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, grid tenaga Malaysia ketika ini yang kebanyakannya disokong oleh loji janakuasa yang menggunakan arang batu dan gas asli sebagai bahan api, menghadapi cabaran untuk mengimbangi tenaga yang disumbangkan oleh stesen janakuasa solar yang disambungkan dengan grid.

Sementara itu, MYBESS Citaglobal, yang dibangunkan secara tempatan dengan kerjasama Genetec, boleh memainkan peranan penting dalam menstabilkan grid dengan menyediakan pengaturan frekuensi, pengimbangan beban, penstabilan voltan dan melancarkan turun naik kuasa melalui penyimpanan yang cekap dan pelepasan tenaga lebihan, katanya.

MYBESS direka bentuk untuk menyimpan dan melepaskan lebihan tenaga dengan cekap, menyediakan sokongan sandaran yang membantu menstabilkan grid dan meningkatkan kapasiti Malaysia untuk mengendalikan sumber tenaga bersela seperti solar.

Citaglobal juga berkata ia mengambil bahagian secara aktif dalam CRESS dan kini sedang berbincang dengan bakal pengguna korporat untuk memacu penggunaan BESS selanjutnya.

Di bawah Belanjawan 2025, kerajaan mengutamakan peningkatan infrastruktur tenaga negara dengan pelaburan besar RM16 bilion untuk memodenkan rangkaian penghantaran dan pengedaran yang akan menyokong integrasi sumber TBB dan memudahkan peralihan Malaysia ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Selain itu, ia terus menggalakkan penggunaan teknologi hijau melalui inisiatif seperti pelanjutan program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan