AM

MCMC Mulakan Rundingan Awam Mengenai Draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik)

23/10/2024 09:10 AM

PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan rundingan awam mengenai draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial (Penyedia Perkhidmatan) hari ini hingga 5 Nov depan.

MCM dalam kenyataan hari ini memaklumkan rundingan awam itu dilaksanakan bertujuan mendapatkan input dan maklum balas daripada penyedia perkhidmatan, orang awam, pemain industri dan pihak berkepentingan yang relevan. 

Rundingan awam ini susulan daripada pengenalan Kerangka Pelesenan untuk perkhidmatan pesanan Internet dan perkhidmatan media sosial yang diwartakan pada 1 Ogos lepas dan akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2025.

“MCMC amat menggalakkan penyertaan daripada penyedia perkhidmatan, orang awam dan semua pihak berkepentingan yang berminat dalam proses rundingan awam,” menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan rundingan awam ini merupakan peluang untuk semua pihak menyumbang kepada dasar-dasar yang akan membentuk masa depan persekitaran dalam talian di Malaysia.

“Ia bagi memastikan bahawa ruang dalam talian kekal selamat, terjamin, serta kondusif untuk pertumbuhan dan inovasi,” menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC, matlamat draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) adalah mewujudkan persekitaran dalam talian selamat untuk rakyat Malaysia, terutamanya kepada kanak-kanak dan golongan rentan yang berisiko tinggi terdedah kepada kandungan memudaratkan.

Draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) dicadangkan MCMC menggariskan amalan terbaik untuk diterima pakai oleh Penyedia Perkhidmatan yang dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan