EKONOMI

MARC, Impac+ Bekerjasama Untuk Tingkatkan Khidmat Nasihat ESG, Penyelesaian Kewangan Mampan

23/10/2024 03:27 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) dan perunding kemampanan yang berpangkalan di Indonesia, Impac+ telah menandatangani memorandum kerjasama (MoC) untuk pembentukan pakatan mereka dalam khidmat nasihat berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan penyelesaian kewangan mampan.

MARC dalam satu kenyataan hari ini berkata di bawah kerjasama itu, kedua-dua entiti itu akan bersama-sama meneroka dan melaksanakan inisiatif bertujuan untuk menangani keperluan yang berubah bagi landskap ESG/kelestarian Indonesia.

"Kerjasama itu secara khusus akan menumpukan kepada menawarkan pengkhususan perkhidmatan perundingan dan inisiatif peningkatan kemahiran yang direka untuk memperkasakan perniagaan dan industri bagi menyepadukan ESG dan prinsip pembiayaan mampan dengan lebih baik ke dalam rangka kerja operasi mereka," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARC (GCEO) Arshad Mohamed Ismail berkata menerusi kerjasama berkenaan, MARC menyasarkan untuk menyumbang kepada landskap kemampanan holistik dengan berkongsi kepakaran dalam penilaian ESG dan khidmat nasihat.

"Bersama-sama dengan Impac+, kami berharap dapat memupuk wacana bermakna yang menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang.

“Indonesia adalah pasaran utama untuk pertumbuhan didorong kemampanan dan kami yakin usaha gabungan kami dengan Impac+ akan menghasilkan penyelesaian inovatif untuk menangani cabaran kemampanan yang unik di rantau ini,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Impac+ Rizky Wisnoentoro berkata perkongsian dengan MARC tersebut mencatatkan satu kejayaan besar bagi Impac+ kerana ia terus berusaha ke arah merintis penyelesaian ESG dan kemampanan di Indonesia.

"Kepakaran dan reputasi MARC dalam penarafan kredit dan ruang ESG seiring dengan matlamat kami untuk memacu perubahan yang memberi kesan di peringkat tempatan.

“Dengan menggabungkan sumber kami, kami (MARC dan Impac+) bukan sahaja akan menangani jurang dalam ESG dengan pantas dan kemampanan tetapi juga mewujudkan penyelesaian berimpak yang boleh menyediakan industri di Indonesia peralihan yang saksama ke arah amalan kemampanan lebih baik,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kerjasama itu mencerminkan komitmen berterusan MARC untuk mengembangkan jejaknya dalam ESG serantau dan kemampanan.

Menerusi penekanan yang semakin meningkat terhadap kewangan mampan dan pelaburan yang bertanggungjawab, MARC berkata bahawa ia berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong pembangunan ekosistem ESG holistik di rantau ini melalui perkongsian strategik dan kerjasama lain sebegini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan