AM

Fahmi Ucap Tahniah, Akan Hubungi Meutya Bincang Isu Media Sosial

23/10/2024 07:10 PM

SHAH ALAM, 23 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau akan menghubungi rakan sejawatnya Meutya Hafid yang baru dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia untuk membincangkan pelbagai perkara penting termasuk isu media sosial dan keselamatan digital.

Beliau berkata mesyuarat ASEAN yang akan dipengerusikan oleh Malaysia tahun hadapan boleh menjadi platform penting bagi menteri-menteri berkaitan untuk meneliti isu-isu mendesak khususnya berkaitan dengan media sosial, seperti berita palsu dan jenayah penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.

“Baru-baru ini saya bertemu Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono bagi menyampaikan ucapan tahniah atas pelantikan Meutya dan pembentukan Kabinet baharu kerajaan Indonesia selain menyatakan hasrat menghubungi pejabat rakan sejawat dalam masa terdekat.

"Saya pasti ada banyak perkara yang kami boleh bincangkan bersama nanti," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan syarahan pada Program Siri Syarahan Menteri Bertajuk "Literasi Keselamatan Digital" dianjurkan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di sini hari ini.

Menjelas lanjut, Fahmi berkata walaupun ASEAN tidak mempunyai kawal selia berhubung media sosial, seperti Kesatuan Eropah, namun dengan pendekatan bersepadu dalam kalangan negara anggota ASEAN boleh meningkatkan keselamatan Internet untuk keluarga dan kanak-kanak. 

Setiap negara boleh mengambil pendekatan terbabit dan disesuaikan mengikut konteks negara masing-masing, katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan