AM

Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Tokoh Berjasa Kepada Dunia Islam Dan Pemikiran - PM

23/10/2024 08:28 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelantikan Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas sebagai profesor diraja memberi makna besar kepada tokoh yang begitu berjasa kepada dunia Islam dan dunia pemikiran.

Menyifatkan Syed Muhammad Naquib sebagai individu yang sedia mencurahkan ilmu serta sahabat setia, Anwar berkata beliau menjunjung kasih terhadap perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengurniakan watikah pelantikan profesor diraja kepada filasuf dan ilmuwan ulung berkenaan.

"Sepanjang hidup, saya amat bernasib baik kerana dapat mendampingi beberapa ilmuwan besar dan Prof Al-Attas merupakan salah seorang daripada tokoh tersebut.

“Beliau memberikan saya bimbingan dan pendedahan dalam pelbagai aspek keilmuan terutamanya sebagai mahasiswa di Universiti Malaya dan semasa saya berkhidmat sebagai tutor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar turut menyifatkan Syed Muhammad Naquib sebagai individu yang telah membawa pengaruh begitu mendalam kepada generasi beliau di dalam bidang falsafah.

Syed Muhammad Naquib, yang juga pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), menerima  gelaran tertinggi yang dianugerahkan kepada seseorang profesor oleh Yang di-Pertuan Agong itu berikutan jasa serta sumbangan beliau terhadap negara terutama dalam pendidikan Islam.

Beliau telah memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang diterapkan dalam pelbagai cabang pengetahuan merangkumi pendidikan agama, sejarah, falsafah, teologi, metafizik, filologi, semantik, sastera dan seni.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan