AM

Scoot Tingkatkan Akses Pelancong Antarabangsa Ke Melaka

23/10/2024 08:43 PM

MELAKA, 23 Okt (Bernama) -- Penerbangan syarikat tambang rendah Singapura yang dimiliki Singapore Airlines, Scoot, ke Melaka mempunyai kepentingan strategik dalam meningkatkan akses pelancong antarabangsa ke negeri ini.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata penerbangan dari Singapura itu juga memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pelancongan antarabangsa Melaka termasuk persediaan untuk Hari Pelancongan Sedunia 2025 dan Persidangan Pelancongan Dunia 2025.

“Penerbangan Scoot ke Melaka akan beroperasi lima kali seminggu iaitu pada Isnin, Rabu, Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula hari ini.

“Scoot juga akan menyediakan penerbangan malam pada hari-hari tertentu untuk memberi lebih banyak pilihan kepada penumpang terutama bagi mereka yang memerlukan waktu perjalanan lebih fleksibel,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Penerbangan Pertama Pesawat Scoot ke Melaka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Setiausaha Kerajaan Melaka Datuk Azhar Arshad dan Ketua Pegawai Komersial Scoot Pte Ltd Calvin Chan.

Penerbangan sulung selama 50 minit yang tiba kira-kira 2.55 petang tadi, membawa 112 penumpang dari Singapura manakala 107 penumpang pula berlepas dari Melaka ke negara seberang tambak itu.

Sementara itu, Tiong berharap agar Scoot dapat melaksanakan kajian untuk membuka lebih banyak laluan baharu membabitkan Singapura ke Sarawak dan destinasi lain di negara ini pada masa depan.

Beliau berkata sebagai contoh, Parlimen Bintulu yang diwakilinya merupakan lokasi industri berat dan Singapura pula menjadi pusat transit pelabur dari seluruh dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan